Malaysia Dateline

Adun hantar surat rasmi cadang tambah peruntukan Dun di Johor

Peruntukan dari kerajaan negeri Johor sebanyak RM20,000 dilihat tidak mencukupi dalam membantu rakyat menangani isu yang sedang dialami di negara ini.

Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim berkata, penambahan peruntukan perlu dibuat oleh kerajaan Johor untuk Adun di seluruh negeri itu agar dapat menyalurkannya kepada rakyat.

Dalam surat rasmi yang dikirim kepada Menteri Besar (MB) Johor, Ir Hasni Mohammad yang bertarikh semalam beliau telah menyatakan hasrat tersebut.

“Saya ingin mencadangkan agar kerajaan dapat menambah peruntukan tersebut kepada RM100,000 kepada semua Dun di negeri Johor.

“Saya menyakini dengan penambahan peruntukan ini akan dapat membantu mengurangkan beban kewangan rakyat yang berpendapatan rendah serta tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

“Bilangan yang terjejas ini adalah ramai dan mereka terdiri dari peniaga-peniaga kecil, berkerja sendiri dan mengambil upah secara harian.

“Dengan berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka telah kehilangan sumber pendapatan dan terhimpit dengan masalah kewangan untuk membeli barang keperluan harian,” tegasnya.

Sebelum itu beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor yang telah memberikan peruntukan sebelum ini namun itu belum mampu untuk membantu rakyat di setiap Dun ujarnya.

Tambahnya, kerajaan Johor perlu mencakna nasib rakyat yang terjejas akibat pengumuman PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat sebelum ini.

“Sehubugan itu saya memohon dan merayu agar kerajaan negeri menambah peruntukan ini agar pihak kami dapat membantu rakyat yang susah dengan membekalkan barang-barang keperluan dapur dan seumpamanya kepada mereka.

“Saya percaya kerajaan negeri Johor berusaha menjadi kerajaan yang cukup cakna rakyat. Oleh itu segala tindakan dan kerjasama MB Johor dalam perkara ini amatlah saya harapkan,” tegasnya lagi.