Adun Isytihar harta: Kelantan sambut baik saranan SPRM

Adun Isytihar harta: Kelantan sambut baik saranan SPRM

Kerajaan Kelantan menyambut baik saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengisytiharkan harta masing-masing.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata cadangan SPRM itu tidak menjadi masalah kepada kerajaan negeri yang sudah mempraktikkan amalan berkenaan lama sejak memerintah negeri.

“… sebab di peringkat kerajaan negeri sendiri pun kita dah praktikkan sejak dahulu lagi, kita dah biasakan Anggota Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO) isytihar harta kepada menteri besar,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyampaikan sumbangan kepada tujuh keluarga mangsa kebakaran semalam di Kampung Dusun Muda, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya yang mencadangkan supaya semua ADUN diwajibkan mengisytiharkan harta masing-masing.

Terdahulu, Ahmad menyampaikan sumbangan bernilai RM3,000 kepada tujuh keluarga yang kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Dusun Muda malam tadi.

Sementara itu Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah pula mencadangkan agar pengisytiharan harta dalam kalangan exco itu hanya dibuat kepada kerajaan atau pihak berwajib sahaja dan tidak didedahkan secara umum bagi mengelakkan mereka yang mengisytiharkan harta tidak terdedah kepada kemungkinan yang negatif.

Katanya walaupun beliau menyambut baik saranan itu, kaedah yang lebih sesuai perlu dilakukan bagi mengelak persepsi buruk berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Rumah Ronald McDonald (RRM) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kampus Kesihatan Datuk Dr Ahmad Sukari Halim dan Presiden Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia. Azmir Jaafar.

Rumah penginapan RRM yang dibina dengan kos bernilai RM4 juta itu mula dibuka Jun lepas bagi membantu meringankan beban keluarga pesakit pediatrik kanak-kanak dengan bayaran hanya RM5 untuk satu malam.– BERNAMA