
Adun Jeram cabar DAP singkirkan Bersatu
Ronnie Liu dan kepimpinan tertinggi DAP dicabar untuk membawa satu usul untuk membuang Bersatu dari komponen Pakatan Harapan (PH) di dalam mesyuarat Majlis Presiden PH akan datang
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP itu dipercayai masih berdendam dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan masih terbawa-bawa sifat sebenar DAP iaitu rasis dalam mengeluarkan kenyataan.
“Tindakan mempersoalkan kredibiliti Dr Mahathir adalah suatu perkara yang biadab dan sangat sombong apabila menyatakan pendirian bahawa PH mampu membentuk kerajaan tanpa parti Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Selain itu, Ronnie turut mendakwa Dr Mahathir mengejar model Barisan Nasional (BN) yang mempunyai parti dominan Melayu untuk mengawal pakatan itu.
Dalam pada itu, Shaid menegaskan bersedia untuk keluar daripada kerajaan PH di Selangor sekiranya Ronnie tidak menghormati kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan.
“Ini adalah tindakan protes saya kepada DAP yang saya lihat semakin hari semakin kuat bermuka-muka dan rasis.
“Tindakan ini adalah untuk membuktikan bahawa Dr Mahathir masih relevan sebagai Perdana Menteri dan ketika ini rakyat masih memerlukan beliau untuk memulihkan negara.
“Saya yakin dan percaya bahawa Dr Mahathir mampu membina satu kerajaan baharu tanpa DAP sekali gus memadamkan keegoan DAP dengan membentuk gabungan kerajaan Melayu Islam yang baharu,” katanya.
Ronnie dalam pada itu turut mempersoalkan pendirian Dr Mahathir yang menerima bekas ahli politik UMNO sebagai ahli Bersatu selain kegagalan Perdana Menteri itu menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.