Malaysia Dateline

Adun Johor dakwa ada pihak beri tekanan pada sekolah yang terima bantuan dari pembangkang

Seorang Adun pembangkang di Johor mendakwa sebuah sekolah di negeri itu menerima tekanan dari pihak atasan susulan bantuan yang disalurkan kepada sekolah itu pada Mac lalu.

Adun berkenaan, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, perkara berkenaan hanya diketahui selepas seorang individu yang enggan mendedahkan namanya membuat panggilan dan memintanya membatalkan program penyerahan bantuan di sekolah tersebut secara serta merta.

Katanya, individu tersebut mendakwa bahawa pihak sekolah menerima ‘tekanan dari atas’ sejak beliau melawati Sekolah Kebangsaan Paloh 2 pada 5 Mac lalu.

“Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin perlu menjelaskan mengapa halangan tersebut dilakukan sehingga menghalang wakil rakyat menjalankan tugas-tugas kebajikan.

“Saya juga meminta agar Menteri tampil beri penjelasan terhadap dakwaan ‘tekanan dari atas’ yang timbul agar insiden yang berlaku di SK Paloh 2 ini tidak mendatangkan kekeliruan dan menular di kawasan-kawasan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sheikh Umar berkata, bantuan yang disampaikannya kepada sekolah itu pada awalnya disebabkan pelajar, guru-guru dan kakitangan SK Paloh 2 diuji dengan wabak Covid-19 baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, selepas mendapat panggilan dari individu yang tidak dikenali, beliau telah membuat panggilan kepada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dan mereka telah mengesahkan maklumat berkaitan pembatalan tersebut.

Sementara itu beliau menjelaskan bahawa hasratnya menyerahkan 200 sumbangan hanyalah kepada pihak sekolah dan selanjutnya, ia boleh disampaikan kepada setiap penerima melalui perantaraan pihak sekolah sendiri.

Justeru katanya, Menteri KPM perlu menjelaskan perkara sebenar di mana isu berkenaan mesti diberikan perhatian serius.

“Wakil-wakil rakyat tidak wajar dihalang untuk berkhidmat kepada rakyat, apatah lagi saat sukar berhadapan ujian pandemik Covid-19 ini,” tegasnya.