Malaysia Dateline

Adun Johor saran Muhyiddin sertai Umno

Pelawaan Umno terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah disokong oleh Ahli Dewan Negeri (Adun) di Johor.

Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim menyarankan agar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu untuk memilih wadah yang sebelum ini pernah disertainya.

Katanya, Muhyiddin sebelum ini telah mengheret Bersatu sehingga keluar dari Pakatan Harapan (PH) hanya untuk bersama dengan parti Umno bagi mewujudkan kumpulan baharu yang digelar Perikatan Nasional (PN).

“Bagi saya Bersatu adalah parti yang bersih dan ahlinya kini menjadi keliru dengan tindakan yang dilakukan oleh presidennya itu.

“Di Johor kita lihat Bersatu kerap kali dibuli oleh Umno namun Muhyiddin sebagai Presiden tidak memperlihatkan bahawa jiwanya untuk membela partinya.

“Ini antara sebab mengapa saya katakan, jalan yang terbaik adalah dengan beliau (Muhyiddin) memilih untuk bersama Umno dan tinggalkan parti Bersatu kerana Bersatu adalah parti yang bersih tanpa ada pengkhianatan sebelum ini,” ujarnya.

Beliau yang merupakan Mantan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, turut menyatakan penerimaan terhadap kemasukkan semula ahli Bersatu ke dalam PH.

Tambahnya lagi, hanya segelintir di kalangan ahli Bersatu yang mahu mengikut jejak Muhyiddin dan selebihnya mempunyai pendirian yang utuh mahu bersama PH.

“Perjuangan PH adalah untuk rakyat dan sebelum ini Bersatu di Johor selesa di bawah pentadbiran PH. Justeru itu ini adalah suatu perkara yang menyatakan bahawa ramai dalam kalangan ahli Bersatu lebih selesa di bawah PH.

“Saya akui ramai di kalangan ahli Bersatu mahu meneruskan perjuangan bersama-sama PH dan apa yang berlaku ini adalah suatu kekeliruan. Hari ini terbukti Umno membuli mereka dengan kenyataan seperti memperkecilkan peranan Bersatu di Johor.

“Muhyiddin sehingga saat ini secara jelas membiarkan Bersatu Johor terkontang kanting bersendirian bagi membentuk peranan yang baik di negeri.

“Saya fikir selayaknya atau sudah tiba masanya Muhyiddin meninggalkan Bersatu dan masuk Umno agar Bersatu mampu melakarkan prinsip serta pendirian mereka sendiri di Johor,” ujarnya lagi.

Khairuddin memberi respon itu selepas kemelut yang melanda di negeri Johor ini hangat diperbahaskan baru-baru ini dan ia membabitkan pimpinan Bersatu di negeri ini yang dilihat mulai tergugat kedudukan mereka setelah pengabungan PN pada Mac yang lalu.