Malaysia Dateline

Adun Johor seru eratkan perpaduan sempena Ramadhan

Khairuddin A Rahim

Sempena Ramadhan bulan yang mulia bagi umat Islam, rakyat diseru untuk mengeratkan lagi hubungan perpaduan yang sedia terjalin di negara ini.

Menurut Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim, Ramadhan adalah suatu iktibar yang baik bagi menyebarkan keharmonian sepertimana yang dituntut dalam ajaran Islam.

Katanya lagi yang juga merupakan Ketua BBC Dun Johor, kebencian yang ditanam hanya akan menyemaikan kemusnahan dalam menjaga kesejahteraan di antara kaum di negeri Johor khususnya.

“Sebagai umat Islam yang patuh, kesempatan bulan yang mulia seperti Ramadhan ini perlu dijadikan suatu iktibar kepada semua agar menjaga hubungan sesama kita.

“Hari ini terdapat anasir atau golongan yang berusaha memecah belahkan keharmonian sesama kita dengan menanam kebencian kaum serta agama selain Islam. Ajaran Islam menggalakkan umatnya untuk saling menghormati antara satu dengan yang lain.

Sulaiman Mohd Nor

“Maklum baru-baru ini terdapat ajakan serta kenyataan yang melaga-lagakan antara suatu institusi dengan institusi yang lain.

“Perkara ini dilihat semakin berluasa tanpa ada sebarang sekatan dan ia akan membimbangkan sekiranya terdapat golongan yang taksub sehingga melakukan sesuatu perkara di luar dari jangkauan kita,” ujarnya.

Menurutnya lagi kerajaan perlu mengambil serius akan permasalahan ini agar rakyat di negara ini tidak terkeliru dengan kenyataan pemecahan ini.

Sementara itu, Adun Kemelah, Sulaiman Mohd Nor dalam ucapan ‘Salam Ramadhan’ di ‘facebook’ berkata kesempatan bulan Ramadhan ini adalah untuk mendidik jiwa manusia ke arah kebaikan.

“Bulan Ramadhan adalah bulan yang memberi peluang kepada kita semua untuk menjadi hamba yang dekat dengan Penciptanya,” ucapnya.

Sulaiman turut mengajak agar seluruh umat Islam memperbanyakkan berdoa agar segala amal yang dilakukan ini diterima oleh Allah SWT.