Malaysia Dateline

Adun Kelantan jawab isu guna ‘boring’ tanpa lesen

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bunut Payong Dr Ramli Mamat tampil menjelaskan isu berkenaan penggunaan sumber air tanah dari telaga tiub atau boring yang telah menimbulkan tanda tanya rakyat negeri itu.

Menurut beliau, ramai menghantar mesej inginkan penjelasan sebenar daripada pihak kerajaan berhubung isu berkenaan berikutan tular surat arahan pematuhan daripada Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan terhadap seorang pemilik premis yang mengguna sumber air tanah dari telaga tiub atau boring tanpa lesen.

Jelas beliau, lesen Abstraksi Air Tanah daripada Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan hanya perlu dipohon oleh pengguna industri dan komersial sahaja seperti kilang yang mana umum mengetahui keperluan air mereka adalah tinggi.

“Bagi kegunaan domestik seperti rumah-rumah persendirian, pengguna tidak dikenakan apa-apa caj,” kata beliau.

Beliau berkata demikian bagi memberi respons kepada laporan Malaysia Dateline yang bertajuk “Rakyat Kelantan guna ‘boring’ tanpa lesen boleh didenda tidak lebih RM300,000?”

Mangikut Seksyen 13(4) Enakmen Sumber Air Negeri Kelantan 2019, mana-mana orang yang gagal mendapatkan lesen daripada pengarah di bawah Subseksyen (1) atau melanggar mana-mana syarat mengenai lesen yang dikeluarkan di bawah subseksyen (3) adalah bersalah dan boleh disabitkan denda tidak melebihi RM300,000 atau sebagai tambahan dikenakan denda RM1,000 sehari setiap hari sepanjang kegagalan atau pelanggaran itu berterusan.

Katanya, akta tersebut sebenarnya telah diguna pakai di kebanyakan negeri di Malaysia seperti Kedah pada tahun (2008), Selangor (2017) dan lain-lain negeri.

“Kita akui ada kekurangan dalam perbekalan Air Kelantan, namun langkah-langkah untuk mengatasi masalah tersebut sedang giat dilaksanakan.

“Kita juga beruntung kerana Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air merupakan ahli parlimen dari Kelantan (Kubang Kerian). Sudah tentu isu air Kelantan dapat perhatian yang serius dari Menteri tersebut.

“InsyaAllah dengan berkat kesabaran dan kerja penambah baikan sistem air Kelantan, diharap rakyat Kelantan dapat menikmati sistem air bersih yang menyeluruh pada masa akan datang,” katanya menerusi Facebooknya.

Semalam rakyat Kelantan tertanya-tanya terhadap denda yang boleh dikenakan kerana menggunakan sumber air tanah dari telaga tiub atau boring selepas tularnya satu surat daripada Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan.