Malaysia Dateline

ADUN Kemelah bertungkus lumus turun bersama bantu mangsa banjir

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Dr Sulaiman Mohd Nor bertungkus lumus membantu mangsa banjir di kawasan diwakilinya.

Beliau ketika dihubungi memaklumkan bahawa ia sudah menjadi tanggungjawab beliau sebagai seorang wakil rakyat untuk memastikan kesejahteraan rakyat di DUN Kemelah.

Menerusi hantaran di Facebook, Dr Sulaiman memberitahu pasukannya telah mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Saya akan terus berusaha membantu semampu mungkin bagi memastikan apa kekurangan yang berlaku dapat diselesaikan oleh pihak kami.

“Kami telah melancarkan misi bantuan banjir DUN Kemelah ini seawal pihak kami menerima laporan berkenaan dengan kawasan yang ditimpa banjir di sini,” katanya.

Dr Sulaiman Mohd Nor

Menurutnya, Mukim Pogoh dan Mukim Sungai Segamat setakat ini telah terputus hubungan sekaligus menjejaskan penduduk Kampung Tekam dan sekitarnya melibatkan sebanyak 190 buah rumah.

“Pada hari sebelum kami bercadang menghantar bantuan melalui Labis apabila laluan jalan terputus dari Bandar Segamat melalui Jalan Pogoh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Segamat adalah daerah yang paling teruk terjejas dengan banjir besar di Johor awal tahun ini.

Sehubungan itu, Dr Sulaiman memaklumkan pihaknya telah menyediakan pasukan untuk membantu mangsa yang terjejas serta menghantar barangan keperluan kepada mereka.

“Sebanyak dua tan barangan keperluan telah kami hantar melalui JPKK Kampung Tekam kepada mangsa yang memerlukan terutama di lima kampung iaitu Kampung Limau Manis, Kampung Bukit Senggir, Kampung Tekam, Kampung Chodan dan Kampung Seri Rahmat yang diangkut melalui bot-bot di Jalan Pogoh pada pagi Selasa (4 Januari),” jelasnya.

Dalam masa sama, pihaknya turut memberi bantuan kepada mangsa di PPS Kampung Pogoh Tengah, PPS Kampung Lubok Selumar Pogoh 2, PPS Kampung Sekijang, PPS Kampung Paya Lenga dan Kampung Melayu Raya.

“Kami akan meneruskan komitmen kami membantu mangsa-mangsa banjir dengan kerjasama penghulu dan ketua kampong dan akan berusaha memastikan mangsa dan mereka terkesan mendapat bantuan yang sewajarnya,” kata Dr Sulaiman lagi.