Malaysia Dateline

Adun Kerajaan Negeri Sarawak tidak simpan dana RTP secara tunai

Para anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerajaan Negeri tidak menyimpan dana RM5 juta secara tunai yang diperuntukkan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) seperti mana didakwa sesetengah pihak.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr. Annuar Rapa’ee berkata, peruntukan itu yang mula diperkenalkan semasa era pentadbiran bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem itu adalah dalam bentuk projek.

Menurut beliau, peruntukan itu bertujuan mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan luar bandar yang dikehendaki oleh rakyat di negeri ini yang bukan projek dirancang oleh pihak kerajaan.

Kerajaan Negeri telah memberi amanah kepada para wakil rakyatnya supaya memberi penjelasan mengenai RTP kepada rakyat bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan tindakan pihak yang memutar belitkan fakta sebenar RTP.

“Ada pihak tertentu yang putar-belitkan fakta yang mendakwa YB (Yang Berhormat) simpan dana (RTP) RM5 juta secara tunai dan disalurkan kepada pusat-pusat khidmat atau terus kepada akaun YB.

“Sebenarnya YB tidak melihat dana itu dan pihak yang menerima projek di bawah RTP pun tidak melihat dana itu,” katanya kepada pemberita pada majlis Hari Raya Persatuan Melanau Sibu (PMS) semalam.

Dr. Annuar, yang juga ADUN Nangka berkata, sebenarnya dana pembiayaan projek-projek yang dilaksanakan di bawah RTP akan disalurkan oleh Setiausaha Kewangan Negeri (SFS) kepada pihak kontraktor sebaik sahaja projek siap dan disahkan oleh agensi pelaksana seperti pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID).

Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan RM100,000 di bawah RTP bagi pembinaan pagar kawasan bangunan PMS dan peruntukan RM20,000 bagi persatuan itu menjalankan aktiviti kemasyarakatannya.

— BERNAMA