Malaysia Dateline

ADUN Kota Damansara, isteri dan dua anak pula positif Covid-19

Lagi kes wakil rakyat yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dijangkiti Covid-19. Kali ini membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Shatiri Mansor.

Turut dijangkiti virus berbahaya itu ialah isteri dan dua anaknya, seperti dimaklumkan Shatiri menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Wakil rakyat PKR itu memberitahu, beliau dan tujuh lagi individu dari Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara pulang dari Sabah dan menjalani ujian saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Pada 30 September lalu, jelasnya, isteri beliau menerima panggilan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling dan disahkan positif Covid-19, sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

“Oleh kerana kami kontak rapat, kami dipanggil semula oleh PKD pada 2 Oktober lalu untuk menjalani semula ujian saringan dan hari ini, saya terima panggilan daripada PKD Petaling dan memaklumkan saya serta dua anak positif Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, beliau dan dua anaknya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan, manakala tiga lagi daripada kumpulan Shatiri disahkan negatif dan kini menjalani kuarantin di rumah sehingga 16 Oktober ini.

Jelas Shatiri lagi, pusat khidmat DUN Kota Damansara beroperasi seperti biasa walaupun beliau disahkan positif Covid-19.

Hari ini Selangor mencatatkan kes baharu positif Covid-19 ketiga tertinggi selepas Kedah dan Sabah dengan 34 kes.

Daripada jumlah itu, 17 kes merupakan saringan pulang dari Sabah yang dikategorikan Kementerian Kesihatan sebagai kawasan berisiko tinggi.