Malaysia Dateline

ADUN Kota Iskandar saran Johor guna rizab tunai bantu rakyat

Johor disaran menggunakan rizab tunai kerajaan negeri untuk membantu golongan yang terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19.

Menurut Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Sr Dzulkefly Ahmad, tidak salah kerajaan Johor menggunakan rizab tersebut bagi membantu golongan yang memerlukan ketika kecemasan pada masa ini.

Katanya, ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa 18 Mac lalu, ramai golongan peniaga kecil di negeri itu teruk terjejas.

“Pemberian RM200,000 yang diumumkan oleh kerajaan negeri Johor sebelum ini tidak memadai untuk menampung sebilangan peniaga kecil dan mereka yang terjejas teruk akibat dari pengumuman PKP.

“Selain itu, rizab tunai negeri sebanyak RM3.068 bilion (RM 1.268 bilion Akaun Disatukan dan RM 1.8 bilion Akaun Amanah) itu boleh dimanfaatkan ketika ini untuk membantu rakyat yang memerlukan.

“Mereka (peniaga kecil) ini tidak mempunyai majikan dan mereka juga tidak mencarum KWSP untuk membolehkan mereka mendapat elaun RM500 sebulan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengambil contoh negeri-negeri lain yang telah pun membuat tindakan dalam membantu golongan yang terjejas akibat PKP.

Dzulkefly yang merupakan Adun Kota Iskandar berkata, kerajaan Selangor telah memberikan bantuan tunai ‘one-off’ RM500 seorang bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah.

“Kerajaan Johor perlu mencontohi tindakan kerajaan Pahang yang memperuntukkan Bantuan Khas bersifat ‘one-off’ berjumlah RM 3.5 juta melibatkan 17,935 orang yang terjejas secara langsung sumber pendapatan ekoran perlaksanaan PKP.

“Di Negeri Sembilan, kerajaannya pula memperuntukkan RM3 juta dan Pulau Pinang RM20 juta bagi maksud yang sama.

“Kerajaan Johor perlu efektif dalam merangka rangsangan ekonomi kepada rakyat di negeri ini untuk membantu mereka dalam meneruskan kehidupan seharian sepanjang tempoh PKP ini,” ujar Dzulkefly lagi.