Adun Kubang Rotan tumpu Selamatkan Malaysia, ketepi soal parti politik dahulu

Adun Kubang Rotan tumpu Selamatkan Malaysia, ketepi soal parti politik dahulu

Tanpa mengesahkan mahupun menafikan khabar angin mengenai kemasukannya ke dalam Amanah, Adun Kubang Rotan, Kedah Mohd Nasir Mustafa memberitahu, fokus beliau pada masa ini adalah pada gerakan Selamatkan Malaysia.

“Nantilah dulu. Saya buat masa ini belum lagi bersedia untuk bercakap banyak soal parti. Banyak lagi kerja perlu kita lakukan dan tumpuan saya sekarang ialah dalam Selamatkan Malaysia,” jawabnya ketika dihubungi Malaysia Dateline ekoran khabar angin beliau mahu sertai Amanah.

Sehubungan itu, ujarnya, politik kepartian melampau harus diketepikan pada masa ini dengan mengutamakan taktikal tertentu.

“Malaysia dalam keadaan berbahaya jika membiarkan pemimpin bermasalah untuk terus menegakkan benang yang basah.

“Kita tidak mahu ada yang mengambil kesempatan untuk mengekalkan kuasa dengan berterusan melakukan kemungkaran dan penyelewengan,” tegasnya yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kedah yang meletakkan jawatan itu baru-baru ini.

Mengulas lanjut siri jelajah Selamatkan Malaysia melibatkan gerakan progresif termasuk NGO dan Dr Mahathir, beliau berkata, semua pihak perlu bersatu demi perubahan dan reformasi yang adil dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Isu paling kritikal sekarang tentang penyelewengan 1MDB dengan menanggung hutang lebih RM50 bilion dibimbangi akan membawa akibat kepada kita semua.

“Pelaburan 1MDB yang dijamin oleh kerajaan itu menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kegagalan membayar hutang,” tegas Nasir lagi.

Dalam hal berkaitan, Setiausaha Amanah Kedah, Aris Awang pada 4 Mei lalu di Facebook memberitahu Nasir mengaku meletak jawatan secara rasmi sebagai Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kedah pada 1 Mei lalu.

Aris pada catatan di Facebook beberapa jam selepas itu turut menyeru Nasir membuat satu keputusan yang bermaruah meninggalkan Pas kerana tidak berdosa sama sekali menjadi keahlian Amanah.

“Hang dok dalam (Pas) tu lagi pun depa anggap hang pengkhianat dah. Depa buat mesyuarat pun tak habaq kat hang. Kat majlis kenduri pun depa dok mengelak dari bersalam dengan hang. Padahal hang tu Timbalan YDP. Adun lagi. Bukan pemeriksa kira-kira,” katanya.

Aris juga mengajak Nasir untuk meneruskan perjuangan yang pernah dipelopori oleh Almarhum Ustaz Fadhil Nor dan Tuan Guru Nik Aziz bersama Amanah sebagai wadah baru Amanah.

“Biaq pi lah depa (Pas) nak pusing roundabout berapa kali pusing pun. Kita kena terus bergerak menuju hala tuju yang jelas. Hidup kita bukan lama mana. Buat apa buang masa pusing roundabout lama-lama. Islam Rahmatan Lil Aalamin,” tambahnya lagi.

TAGS