Malaysia Dateline

ADUN Lunas wajib letak jawatan, dikenakan tindakan mahkamah

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah menyelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Azman Nasrudin yang disifatkan sebagai mementingkan diri sendiri selepas pulang dari menyertai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketuanya, Mohammed Firdaus Johari berkata, sikap Azman yang mengecewakan itu menyebabkan isteri Exco Kerajaan Negeri Kedah berkenaan yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga di Pulau Pinang positif Covid-19.

“Sikap tidak bertanggungjawab beliau (Azman) yang mementingkan diri sendiri dengan tidak membuat swab test (ujian calitan) dan kuarantin diri sendiri setelah pulang dari Sabah berkempen untuk kerajaan Perikatan Nasional amat mendukacitakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Isteri Azman yang berusia 40-an mulnya tidak sihat ketika di sekolah sebelum dia pergi mendapatkan rawatan di hospital di Kedah.

Ekoran itu, SK Permatang Janggus diarah tutup selama lapan hari berkuat kuasa mulai 1 Oktober lalu dengan kira-kira 600 murid menjalani ujian saringan Covid-19.

Mengulas lanjut, Mohammed Firdaus berkata, Kluster Bah Rose, Bah Ketil dan Bah Lunas antara beberapa kluster jangkitan Covid-19 yang baharu dan amat membimbangkan.

“Wujud persoalan di kalangan rakyat negeri Kedah, adakah ketiga-tiga kluster baru ini sebenarnya kluster ‘super spreader’ yang sama puncanya?” soalnya.

Menurutnya. Azman juga telah menghadiri pelbagai program rasmi kerajaan negeri dan beberapa program di Langkawi pada 27 September lalu.

“AMK Negeri Kedah bersimpati dengan keadaan kesihatan beliau dan seluruh keluarga serta mendoakan agar beliau cepat sembuh.

“Walau bagaimanapun, salah tetap salah. AMK Kedah menuntut YB Azman Nasruddin untuk memohon maaf secara rasmi dan terbuka kepada seluruh rakyat di Negeri Kedah termasuk kepada semua ibu bapa serta guru-guru SK Permatang Janggus,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Azman wajib meletakkan jawatan beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah dengan segera memandangkan melibatkan isu integriti sebagai seorang pemimpin negeri yang perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian yang berlaku.

“AMK Kedah juga mendesak YB Azman Nasruddin didakwa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Jangan wujud layanan dua darjat antara rakyat marhaen dan pemimpin politik.

“Adakah Kerajaan Negeri Kedah atau pihak berwajib akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka sebagaimana tindakan undang-undang yang telah diambil terhadap lelaki yang menjadi punca bermula dan merebaknya Kluster Sivagangga dulu?

“Setiap rakyat di Malaysia harus dilayan serta dibicarakan dengan adil dan saksama. Hak keadilan itu perlu diutamakan,” tegas Mohammed Firdaus lagi.