Malaysia Dateline

ADUN Maharani positif Covid-19 selepas 9 hari kuarantin di rumah

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Nor Hayati Bachok sah positif Covid-19 walaupun keputusan ujian saringan kali pertama pada 26 September lalu didapati negatif.

Beliau kemudiannya telah menjalani ujian saringan kedua pada 4 Oktober lalu dan menyambung pengasingan kendiri sehingga dimaklumkan dijangkiti wabak itu semalam.

Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) ADUN Maharani dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Nor Hayati mengambil inisiatif kekal berada di rumah sejurus kembali dari Sabah.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Negeri Johor berkenaan juga tidak menemui rakyat serta tidak menghadiri dalam mana-mana program sepanjang tempoh itu.

“Pihak kami berdukacita dengan perkhabaran bahawa beliau didapati positif Covid-19 dan kini sedang menerima rawatan.

“Namun begitu, beliau sentiasa mematuhi segala arahan KKM dan pihak kami sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam mencegah penularan,” dipetik dari kenyataan itu.

PKWR juga memberitahu semua kontak rapat kepada Nor Hayati yang dikenal pasti oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Muar telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan sedang menanti keputusan dalam tempoh terdekat.

“Pihak Pejabat Kesihatan Daerah akan terus menghubungi sesiapa yang berkontak rapat dengan beliau untuk menjalani saringan,” katanya.

Sementara itu, pihak PKWR memaklumkan laporan polis telah dibuat berhubung penularan mesej tentang status kesihatan Nor Hayati yang turut mendedahkan maklumat peribadi dan keluarga wakil rakyat tersebut.

“Pihak kami telah mengenalpasti individu yang mula menyebarkan mesej tersebut dan telah membuat laporan polis serta bakal kami susuli dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, pusat khidmat tersebut menggesa masyarakat menghentikan penyebaran maklumat peribadi Nor Hayati dan keluarga yang bercanggah dengan undang-undang dan boleh dikenakan tindakan.

“Pihak kami memohon maaf kepada semua yang terkesan walaupun segala langkah kuarantin di rumah dan pencegahan telah dipatuhi sepanjang tempoh ini.

“Sekali lagi, kami menggesa agar warga Maharani tidak panik dengan mesej-mesej yang tular, sebaliknya sentiasa mendapatkan informasi sahih daripada pihak KKM sahaja,” tegas kenyataan itu lagi.

Dalam masa sama, PKWR menyeru masyarakat menghentikan sebarang spekulasi sebaliknya memberi ruang kepada Nor Hayati dan keluarga untuk menempuh ujian sebagai pesakit Covid-19 ini dengan tenang.

“Kami memohon agar semua warga Maharani mendoakan kesihatan dan kesejahteraan YB Puan Hajah Nor Hayati Bachok agar dapat terus berkhidmat dan berbakti kepada seluruh rakyat,” dipetik dari kenyataan itu lagi.