Adun Maharani turun padang agih sumbangan, edar limau Mandarin

Adun Maharani turun padang agih sumbangan, edar limau Mandarin

Sempena sambutan Tahun Baru Cina, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Maharani, Norhayati Bachok turun padang menyampaikan sumbangan kepada komuniti warga emas selain mengedarkan limau Mandarin.

Menurut Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Johor itu, beliau berkongsikan kegembiraan menyambut perayaan dengan menyerahkan sumbangan dalam ketika program ziarah di Pusat Jagaan Warga Emas Mak Swee.

“Sambutan mereka amat menggalakkan. Program ‘walkabout’ di medan selera dan mengedar limau Mandarin ini mampu mendekatkan diri dengan masyarakat berbilang kaum.

“Dalam masa sama, program seperti ini mampu mengeratkan perpaduan antara kaum di negara ini,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Acara kemuncak di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Sin, Parit Bakar itu turut dijayakan oleh Pemuda AMANAH Muar dan Majlis Pergurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit Bakar.

Norhayati turut memberikan penghargaan kepada seluruh masyarakat yang membantu serta menyambut baik rombongan dari Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Maharani.

“Sambutan amat menggalakkan dan ini menggambarkan bahawa masyarakat Cina masih lagi utuh mempertahankan perpaduan yang telah lama terbina di negara ini.

“Rombongan kami disambut dengan persembahan tarian singa dari murid SJKC Chin Sin
serta persembahan silang budaya antara tiga kaum dari Sekolah Rendah Kebangsaan Parit Bakar Tengah dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Teriang.

“Niat saya hanyalah untuk membuktikan keutuhan semangat perpaduan dan keharmonian akan terus kekal dipelihara di negara kita selain mendengar permasalahan yang disuarakan mereka,” katanya.

Beliau turut menyatakan mendampingi golongan asnaf adalah suatu perkara yang menjadi keutamaan di kawasan Dun Maharani.

Norhayati mengedarkan buah limau Mandarin kepada peniaga di sekitar Dun Maharani.