Malaysia Dateline

Adun Meru kagum, Jokowi dan Probowo berbanding pemimpin Malaysia masih bersengketa

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, menzahirkan rasa kagum terhadap sikap profesional dua seteru politik Indonesia, Jokowi dan Probowo yang bersatu demi membangunkan negara mereka.

Susulan penyatuan kedua-dua pemimpin politik di Indonesia itu, Fakhrulrazi menyifatkan situasi itu adalah sesuatu yang luar daripada biasa.

“Sesuatu yang luar biasa apabila seteru dua penggal dalam politik akhirnya berada bersama dalam satu barisan kepimpinan negara.

“Berdebat, bertegang pemikiran, berlawan di pentas politik, tetapi demi membangunkan Indonesia, mereka bersatu membina negara mereka.

“Tetapi bagaimana dengan kita? Hari ini keputusan pilihan raya diumumkan, namun permusuhan berterusan sehingga ke pilihan raya seterusnya.

“Ayuh rakyat Malaysia kita sama-sama bangunkan tanah air tercinta. Negara memerlukan kita semua untuk dibangkitkan semula.

“Kita mampu dan kita pasti mampu asalkan kita meletakkan kepentingan agama dan negara melebihi kepentingan diri dan kelompok kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Adun Meru itu turut menyeru supayan menghentikan polemik fitnah dan sabotaj.

“Perkara itu (fitnah dan sabotaj) tidak ada sebarang faedah pun kepada masa depan negara.

“Merosakkan keamanan sesuatu yang mudah, memulihkannya memerlukan jangka masa yang lama, tetapi untuk mengekalkan keamanan sesuatu yang sukar,” ujarnya lagi.