Malaysia Dateline

Adun Pas gagal selesai masalah air DUN Sanglang

Lebih 300 penduduk dalam kawasan Padang Keria, Dun Sanglang, Perlis merasa kecewa setelah masalah air bersih dalam kawasan tersebut tidak dapat diatasi sejak tahun lalu.

Malah lebih mendukacitakan apakala Syarikat Air Perlis (SAP) hanya menghantar bekalan air sebanyak dua kali sehari, sebaliknya bekalan air tersebut tidak begitu memuaskan sehinggakan penduduk tidak rela untuk menggunakan bekalan air tersebut untuk minum dan memasak.

Ketua AWAN Negeri Perlis, Che Mazlina Che Yob yang peduli terhadap masalah tersebut segera turun padang bagi meninjau masalah yang berpanjangan dalam kawasan yang diwakili oleh Adun Pas dengan lebih dekat lagi.

“Masalah bekalan air yang berterusan dalam kawasan tersebut khususnya Padang Keria amat mendukacitakan kerana penduduk terpaksa menanti dalam tempoh yang lama untuk mendapatkan bekalan air dari lori-lori SAP.

” Paling menyedihkan ada kediaman penduduk yang mempunyai paip air, sebaliknya tiada aliran air yang keluar apabila paip dibuka bagi mendapatkan bekalan air tersebut dan akan bertambah perit sekiranya masalah ini tidak dapat diselesaikan menjelang ramadan tidak lama lagi.

“Kerajaan negeri Perlis sepatutnya segera mengambil inisiatif dengan pelan penyelesaian bagi mengatasi masalah bekalan air yang telah berlarutan sejak tahun lepas lagi dan bukannya membiarkan penduduk terkontang-kanting tanpa arah bagi mendapatkan bekalan air bersih tersebut, ” tegas beliau.

Tambahnya, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sepatutnya lebih menyedari kedudukan sebenar masalah bekalan air kerana ia terletak dalam kawasan Parlimen yang beliau wakili sejak penggal yang lalu lagi.