Adun Pasir Pinji diarah keluar dewan

Adun Pasir Pinji diarah keluar dewan

Wakil rakyat pembangkang Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) diarah keluar dewan dan digantung daripada mengikuti persidangan hari terakhir Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini kerana mengingkari arahan Speaker Datuk S. Thangeswary.

Thangeswary membuat keputusan itu apabila Lee enggan mengikut arahannya yang meminta anggota Dun itu duduk dan tidak menimbulkan kekecohan yang boleh menganggu dewan.

Terdahulu, Lee mengusulkan kepada dewan supaya menghadapkan Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya pada persidangan DUN, Jumaat lepas.

“Saya mengusulkan Yang Berhormat Slim dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana telah menghina kemuliaan dewan dan saya minta Speaker membuat keputusan atas usul ini,” katanya.

Thageswary kemudian menolak usul tersebut kerana perkara itu perlu dirujuk kepada hansard terlebih dahulu.

Beberapa wakil rakyat pembangkang tidak berpuas hati dengan keputusan itu manakala Lee juga enggan mengikut arahan Speaker yang memintanya duduk.

Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid (BN-Kamunting) kemudian bangun dan mengusulkan Perintah Tetap 44 (3) Perintah-perintah tetap Dewan Perhimpunan Undangan Perak supaya Lee digantung perkhidmatannya sebagai ahli dewan sehingga tamat sidang dewan.

Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering) menyokong usul itu sebelum Thangeswary mengarahkan bentara dewan untuk mengiringi keluar ADUN Pasir Pinji itu kerana melanggar peraturan dewan dan mengganggu sesi perbahasan.

“Sebab Yang Berhormat (Pasir Pinji) tidak mengikut arahan dan berkelakuan huru-hara, saya mengarahkan Yang Berhormat keluar dari dewan ini dan digantung perkhidmatan sebagai ahli dewan sehingga tamat persidangan hari ini,” katanya.

CATEGORIES