Malaysia Dateline

Adun Paya Jaras dilantik Exco Negeri Selangor yang baharu

Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman hari ini dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco_) Selangor setelah diperkenankan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah telah diadakan dihadapan Sultan Sharafuddin di Istana Alam Shah, Kelang pada jam 2.30 petang ini.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam kenyataannya hari ini berkata, kerajaan negeri telah mempersembahkan nama-nama bagi calon Exco pada 4 Disember lepas dan Sultan Selangor memberi perkenan kepada Mohd Khairuddin untuk bertangungjawab ke atas portfolio Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan.

” Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor telah memberi perkenan kepada Yang Berhormat Tuan Mohd Khairuddin Othman, Ahli Dewan Negeri (Adun) Paya Jaras untuk dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang baharu bagi menggantikan Allahyarham Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin yang telah meninggal dunia pada 2 Ogos 2018.

“Yang Berhormat Tuan Mohd Khairuddin bin Othman telah mengangkat sumpah dan menerima surat cara pelantikan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 10 Disember 2018 jam 2.30 petang di Istana Alam Shah, Klang.

“Kerajaan Negeri Selangor yakin dengan kewibawaan Yang Berhormat Tuan Mohd Khairuddin sebagai Ahli Dewan Negeri sejak tahun 2013 serta pengalaman luas beliau yang telah menjawat pelbagai jawatan antaranya sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor; Pembantu Exco Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Belia dan Adat-Adat Melayu; Ahli Lembaga Tabung Pendidikan Selangor serta Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor akan dapat membantu pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dalam melaksanakan agenda dan polisi yang telah direncana demi kemaslahatan rakyat negeri Selangor Darul Ehsan seluruhnya,” ujar kenyataan.