Malaysia Dateline

Adun Pelawan pertikai cukai pelancongan Sarawak 

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Pakatan Harapan (DAP) mempertikaikan jumlah hasil kutipan cukai pelancongan Kerajaan Negeri Sarawak.

David Wong yang mewakili Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelawan, Sibu berkata, cukai pelancongan yang dikutip oleh kerajaan negeri sebanyak RM2.58 juta dilihat lima kali ganda kurang daripada cukai yang dikutip negeri Sabah iaitu sebanyak RM12.67 juta.

“Sarawak lebih besar daripada Sabah dari aspek keluasan tanah dan negeri ini mempunyai lebih banyak kawasan tarikan dan tempat yang berpotensi untuk pembangunan pelancongan seperti Batang Rajang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika membuat kenyataan bagi mendapatkan penjelasan semasa Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Bagi menjawab pertanyaan Wong, Abdul Karim berkata beliau hanya bertanggungjawab menjaga kementerian dan agensi berkaitan pelancongan di Sarawak.

Malah, Karim menyoal ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) kenapa mereka harus membandingkan Sarawak dengan Sabah dan bukannya, negeri Semenanjung yang lain.

“Saya tidak menjaga pelancongan di Sabah. Mengapa mesti melakukan perbandingan dengan Sabah? Kenapa kita tidak boleh dibandingkan dengan Kelantan? Kenapa mesti Sabah?

“Terdapat lebih ramai rakyat Semenanjung Malaysia yang datang ke Sarawak (untuk lawatan). Kebanyakan pelawat yang pergi ke Sabah adalah dari China,” kata Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan.