Adun pembangkang Kedah nyatakan pendirian sokong Mukhriz

Adun pembangkang Kedah nyatakan pendirian sokong Mukhriz

Seramai 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pembangkang menyatakan pendirian bersama menyokong Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah setelah mengadap  Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah petang tadi.

Adun Mengkudu Ahmad YahyaSeramai 15 Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Pembangkang menyatakan pendirian bersama menyokong Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah setelah  mengadap Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah petang tadi.

Adun Pembangkang di Kedah mewakili – lapan Pas, satu Amanah, dua DAP dan empat PKR.

Adun Alor Mengkudu (Pas), Ahmad Yahya ketika diserbu media di perkarangan Wisma Darul Aman berkata,  15 Adun  pembangkang yang mengadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini, sepakat berpendirian mereka menyokong Mukhriz.

“Kita membantah sekeras-kerasnya tindakan cuba menurunkan Mukhriz sebagai Menteri Besar melalui cara tidak bertatasusila.

“Jika Mukhriz dinaikkan melalui laluan demokrasi, proses menurunkannya juga mestilah mengikut amalan demokrasi, tidak gopoh, berperaturan serta menghormati kehendak rakyat,” katanya kepada pemberita selepas meninggalkan bangunan itu pada kira-kira jam 4 petang.

Bagaimanapun dalam pertemuan itu Ketua Pembangkang dan Adun Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah daripada Pas dan Adun Bukit Selambau Dr R. Krishnamoorthy daripada PKR tidak hadir  kerana dipercayai berada diluar negara.

Terdahulu, Adun Pengkalan Kundur, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, beliau disoal sama ada dirinya menyokong usaha Umno Kedah untuk menumbangkan Mukhriz.

“Kita beri pendapat sendiri. Kita tidak boleh dedahkannya,” katanya kepada pemberita yang menyerbu keretanya sebaik sahaja beliau meninggalkan bangunan itu pada 3.50 petang.

 Semalam 20 daripada 21 Adun BN menghadap Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman di sini.  Namun pelbagai spekulasi tersebar berikutan sikap membisu semua Adun BN tanpa memberikan sebarang komen kepada media selepas pertemuan itu diadakan.

TAGS