Malaysia Dateline

Adun Perling mahu konsisten perangi jenayah di Johor Bahru

Perangi jenayah bukan hanya tanggungjawab anggota polis malah ia perlu diterapkan ke dalam masyarakat agar peka dengan sebarang aktiviti jenayah.

Begitulah apa yang dimaksudkan oleh Adun Perling, Cheo Yee How yang mahukan masyarakat terus peka serta membantu pihak berkuasa polis dalam melaporkan sebarang aktiviti jenayah.

Cheo berpendapat dengan mewujudkan komuniti masyarakat seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah Rukun Tetangga (KRT) di setiap taman adalah suatu tindakan yang efektif bagi mencegah jenayah.

“Terdapat taman perumahan yang belum menubuhkan KRT dan saya berharap agar taman di sekitar Johor Bahru yang belum menubuhkan KRT untuk segera menubuhkannya.

“Di bawah KRT terdapat SRS yang mana ia membabitkan anggota masyarakat untuk membuat rondaan di sekitar taman mereka dan skim ini secara langsung terus berhubung dengan balai polis.

“Selain itu, penjenayah juga akan merasakan tidak selamat untuk mereka melakukan sebarang aktiviti mereka kerana merasakan kegiatan mereka sedang diperhatikan,” ujarnya ketika ditemui.

Beliau yang sewaktu ditemui di pejabatnya mendakwa masih terdapat taman perumahan yang lama namun masih belum menubuhkan KRT.

Selain itu beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap jenayah pecah rumah yang semakin kerap berlaku di sekitar Johor Bahru.

“Tahap kes pecah rumah di tahap yang membimbangkan dan dari hal itu komuniti masyarakat seperti KRT atau SRS ini ditubuhkan.

“Kita juga akan memohon untuk pihak polis mengambil langkah yang lebih proaktif bagi membendung perkara ini dan kita sedia berkerja sama dengan pihak polis.

“Hal ini akan dibawakan kepada pihak kerajaan negeri bagi mereka memikirkan mekanisma yang sebaiknya untuk mencegah perkara jenayah ini dari berluasa.

“Johor Bahru merupakan suatu mercu tanda bagi sebuah negeri dan ia juga merupakan pintu masuk antara kedua negara Singapura dan Malaysia. Ia perlu dibersihkan dari jenayah,” ujarnya lagi.