Malaysia Dateline

Adun Permatang Pasir realisasikan pembinaan dewan orang ramai, padang bola

Walaupun pembangunan telah begitu giat dilaksanakan, namun begitu masih terdapat beberapa kelompongan yang perlu diisi bagi keperluan penduduk sekitar kawasan Dun Permatang Pasir.

Sehubungan itu pelbagai kekurangan yang ada dan perlu dipertingkatkan akan dilaksanakan sedaya mungkin demi kebaikan penduduk dalam kawasan yang diwakili.

Demikian dinyatakan oleh Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Faiz Fadzil meninjau kawasan padang yang akan digunakan sebagai padang bola untuk penduduk khususnya belia dan remaja di Kampung Kota, Permatang Pasir.

Menurut beliau lagi, yang terkini ialah pembinaan Dewan Besar yang pertama yang akan dikenali sebagai Dewan Orang Ramai Permatang Pasir.

“Dengan terbinanya Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, akhirnya janji manifesto saya tertunai juga.

“Pembinaan dewan ini akan memberi banyak manfaat kepada penduduk dalam kawasan ini.

“Malah ia juga menjadi mercu tanda bagi penduduk dalam kawasan Dun Permatang Pasir yang saya wakili, ” ujarnya.

Sementara itu jelas Faiz, dengan komitmen yang diberikan oleh Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah serta penduduk Kampung Kota, usaha sedang ditingkatkan bagi merealisasikan impian kewujudan sebuah padang bola bagi penduduk kawasan tersebut.

Tambah beliau lagi, keperluan penduduk dalam kawasan Dun Permatang Pasir akan tetap diberi perhatian serius bagi memastikan kekurangan yang ada dapat diatasi dengan kadar yang segera.

Walau bagaimana pun tegasnya, kepedulian terhadap keperluan penduduk khususnya golongan yang memerlukan akan tetap menjadi keutamaan sejajar dengan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan bagi membela nasib rakyat.

Faiz Fadzil semasa majlis pecah tanah bagi pembinaan Dewan Orang Ramai bagi kawasan Dun Permatang Pasir.