Malaysia Dateline

Adun Permatang Pasir nafi dakwaan mencabul

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil menafikan tuduhan mencabul seorang wanita sebagaimana yang didakwa dalam satu laporan polis yang tersebar semalam.

Beliau mengesahkan telah dipanggil untuk satu siasatan pihak polis pada 18 Mac lalu berkaitan laporan polis yang dibuat seorang wanita berusia 31 tahun.

Bagaimanapun beliau memaklumkan bahawa butiran pembelaan tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan masih berjalan.

“Saya telah memberikan kenyataan saya kepada pihak polis. Saya menafikan tuduhan tersebut.

“Saya juga sedang berbincang dengan pasukan peguam bagi mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi membersihkan nama saya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada masa sama, Adun Permatang Pasir itu memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan pihak polis bagi membantu siasatan.

Pada semalam, tersebar satu laporan polis yang mendakwa Faiz mencabul seorang wanita yang juga anggota parti politik.

Menerusi laporan yang dibuat, wanita berkenaan mendakwa Faiz cuba meraba dan memeluknya yang kemudian memberi amaran untuk merahsiakan perkara tersebut.

Posting itu bagaimanapun didapati telah dipadam dari satu akaun Facebook yang menyebarkan laporan polis tersebut.