Malaysia Dateline

Adun Permatang Pasir santuni rakyat setiap hari

Faiz menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta pertandingan mewarna yang diadakan kelmarin.

Sebagai wakil rakyat AMANAH yang mewakili Pakatan Harapan serta telah diberi tanggungjawab untuk membela nasib rakyat, gerak kerja menyantuni rakyat tetap diteruskan walaupun kemenangan telah berjaya dicapai sejak 9 Mei yang lalu.

Menyantuni pelbagai golongan masyarakat tidak terhenti selepas berjaya mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum yang lalu, sebaliknya pelbagai program dan aktiviti diteruskan sehingga kini.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil ketika ditemui.

Malah katanya, turun padang bersama-sama dengan penduduk dalam program bukan saja tertumpu kepada golongan veteran dan orang tua semata-mata, sebaliknya kanak-kanak, remaja, belia, pemuda dan juga wanita turut diberi perhatian.

Manakala bagi mereka yang ditimpa musibah dan kecelakaan diberi keutamaan untuk diselesaikan dengan kadar yang segera melalui agensi kerajaan yang ada.

“Tiga kediaman penduduk berbangsa Tionghua di Kampung Cross Street telah musnah dalam kebakaran minggu lalu.

“Tanpa lengah, maka tindakan segera diambil dengan menyampaikan bantuan dari kerajaan negeri.

“Dengan sumbangan segera tersebut ia dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh ketiga-tiga keluarga tersebut, ” ujarnya selepas menyerahkan sumbangan kerajaan negeri kepada mangsa kebakaran tersebut.

Faiz Fadzil (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan kewangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Cross Street, Dun Permatang Pasir.

Selain itu kata Faiz lagi, program riadah dan kemasyarakatan seperti pertandingan memancing bagi Dun Permatang Pasir yang telah diadakan baru-baru ini berjaya menarik minat sehingga 100 peserta.

Jelasnya lagi, program sedemikian merupakan salah satu aktiviti bagi mengeratkan tali silaturrahim disamping memberi peluang kepada penduduk setempat untuk menikmati pelbagai kemudahan riadah yang ada dalam kawasan Dun Permatang Pasir.

“Sempena bulan Muharram, aktiviti juga dipelbagaikan dengan memasak bubur Asyura dan diedarkan untuk semua golongan masyarakat.

“Penduduk setempat dan pengguna jalan raya turut mendapat sumbangan bubur tersebut yang telah dimasak secara gotong royong anjuran Pemuda AMANAH kawasan Permatang Pauh.

“Boleh dikatakan saban hari dan minggu pelbagai program dan aktiviti disediakan termasuklah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan seumpamanya sebelum kemenangan dalam pilihan raya umum yang lalu sehinggalah kini dan akan berterusan sebagai satu khidmat kepada masyarakat dalam Dun Permatang Pasir, ” tambahnya lagi.