Malaysia Dateline

ADUN PH bersama 4 ADUN lagi mohon menghadap TYT Melaka

11 ADUN Pakatan Harapan dan empat ADUN yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam bagi memastikan kestabilan politik diteruskan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Pakatan Harapan Melaka Adly Zahari di dalam sidang media di Melaka sebentar tadi berikutan Adun Sungai Udang, bersama Pangkalan Batu, Teluk Emas, dan Pantai Kundur, mengumumkan hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Melaka dan seluruh kepimpinan kerajaan.

ADUN Bukit Katil itu berkata surat bagi memohon menghadap telah diserahkan kepada pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Ali Rustam hari ini.

“Hari ini kita sampaikan surat pada Tuan Yang Terutama dan tunggu jawapan istana negeri,” katanya.

Menurut Adly, Pakatan Harapan sentiasa akan memastikan kestabilan politik terjamin demi kesejahteraan rakyat negeri Melaka.

“Negara masih menuju ke arah endemik, bagi kita PH yang penting adalah kestabilan politik diberi keutamaan dan tanggungjawab.

“Politik Melaka harus stabil untuk berdepan dengan Covid-19, ekonomi. Jadi PH memainkan peranan itu,” kata beliau.

Menurutnya, apabila Ketua Menteri Melaka tidak lagi mendapat kepercayaan maka dia sudah tidak boleh terus tadbir kerajaan.

Ini kerana katanya, sebagaimana di dalam Perlembagaan Negeri Perkara 74 di mana Ketua Menteri yang tidak dapat kepercayaan maka dia hendaklah letak jawatan melainkan ada permintaan dibubarkan DUN.

Empat ADUN kerajaan, sebentar tadi mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).