Malaysia Dateline

ADUN PH sedia pengangkutan percuma bawa warga emas dapat rawatan

Sebagai sebuah kerajaan negeri PH yang peduli terhadap masalah rakyat, Adun PKR Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung mengambil inisiatif segera bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh warga emas dengan menyediakan khidmat pengangkutan percuma bagi membawa golongan tersebut mendapat rawatan dari klinik maupun hospital.

Malah kata beliau dengan khidmat yang disediakan ini dapat membantu ramai golongan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang tidak mempunyai kemudahan untuk ke klinik dan juga hospital.

“Terdapat juga tiada capaian pengangkutan awam di kawasan perumahan selain anak- anak mereka sibuk bekerja serta tidak mampu untuk mendapatkan khidmat pengangkutan samada ke klinik ataupun hospital.

” Ekoran permasalahan tersebut serta aduan yang diterima kita mengambil tindakan segera dengan menyediakan khidmat ini dengan harapan dapat membantu ramai warga emas disekitar kawasan Dun Bukit Tengah bagi menjalani pemeriksaan kesihatan susulan sepertimana yang ditetapkan di klinik ataupun hospital, ” ujar beliau.

Menurut Gooi lagi, berdasarkan rekod sedia ada, terdapat lebih 3,000 warga emas sebulan yang mempunyai temu janji di Klinik Kesihatan Bukit Minyak dan seramai 3,288 warga emas setiap bulan yang tinggal di sekitar kadun tersebut mendapatkan rawatan di Klinik Mata Hospital Bukit Mertajam pada tahun lalu.

Sejajar dengan itu tambah beliau, melalui percubaan selama tiga bulan membawa warga emas ke Klinik Kesihatan Bukit Minyak akan turut diperluaskan ke Klinik Mata Hospital Bukit Mertajam dengan harapan kebebasan mobiliti bagi warga emas akan meningkatkan lagi kualiti dan nilai kesihatan mental serta fizikal dikalangan warga emas secara keseluruhan.

Ia juga berkata mana-mana warga emas atau mereka yang ingin mendapatkan khidmat tersebut boleh segera menghubungi pusat khidmat beliau melalui nombor telefon 04-5075001 atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan masing-masing.