Malaysia Dateline

Adun PKR Machang Burok desak hentikan e-voting

Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubok, Lee Khai Loon (gambar atas) mendesak Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya menghentikan sistem e-voting kerana terbukti sistem tersebut belum tersedia dengan sempurna untuk digunakan dalam pemilihan parti kali ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan beliau berkata, PKR belum bersedia untuk berhadapan dengan cabaran e-voting.

Sehubungan itu ujarnya, mantan Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dilantik untuk mengaudit segala proses pengundian pada kali ini.

Katanya lagi, Maria Chin yang neutral serta profesional mampu untuk mengembalikan integriti pemilihan demokrasi sekali gus meyakinkan rakyat dan anggota PKR.

“Pemilihan parti telah bermuula di Kedah dan Pulau Pinang pada Sabtu yang lalu.

“Buat kali pertama sistem e-voting diguna pakai untuk memudahkan proses pengundian serta menggalakkan penyertaan dalam kalangan anggota.

“Namun begitu, proses perjalanan pengundian telah berakhir dengan penuh kekecohan, huru-hara serta pelbagai masalah yang timbul,” jelasnya.

Tegasnya lagi, ia turut memberi kesan apabila adanya pergaduhan sepertimana yang berlaku di beberapa tempat pengundian.

“Insiden ini bercanggah dengan pemilihan parti yang mengangkat prinsip demokrasi sebenar iaitu, satu anggota, satu undi.

“Isu yang timbul pada hari pertama proses pengundian dijalankan perlu diberi perhatian yang amat serius oleh pimpinan pusat.

“Masalah seperti kesilapan gambar, nombor calon di atas kertas undi, keputusan 0 undi bagi beberapa calon serta perbezaan QR kod yang dicetak berlainan dengan jumlah bilangan anggota yang keluar mengundi tinggi mencapai hampir 50%,” ujarnya.

Malah tambahnya lagi, tindakan tegas perlu diambil oleh pimpinan pusat supaya insiden kelam-kabut dan kecelaruan dalam proses pengundian tidak akan berulang lagi.

Ia amat perlu bagi memastikan sistem pemilihan parti dapat dijalankan dalam keadaan yang penuh demokrasi, telus dan adil, ujarnya.