Malaysia Dateline

Adun PKR Selangor sah dijangkiti Covid-19

Rasa tidak sedap badan yang dialami Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri pada cuti Aidilfitri akhirnya terjawab semalam.

Wakil rakyat PKR yang demam, batuk, dan selesema semasa Hari Raya lalu itu disahkan positif Covid-19 setelah menjalani ujian calitan kelmarin.

“Hari ini (semalam) saya rasa lebih baik berbanding Raya. Isteri saya, ibu mentua, dan dua anak saya juga positif (Covid-19).

“Kami tinggal di rumah yang sama. Tolong doakan kami sembuh,” lapor Malaysiakini.

Beliau pada masa ini menjalani kuarantin di rumah sementara menanti arahan lanjut dari pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Syamsul Firdaus sebelum ini sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Beliau menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 10 Mac diikuti dos kedua pada 31 Mac lalu sekali gus melengkapkan proses vaksinasi.

Untuk rekod, vaksin Covid-19 berperanan bagi memastikan tubuh badan memiliki sistem imunisasi yang kuat dan bukannya berperanan mengelak penerimanya dijangkiti virus tersebut.

Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar dilapor berkata, penerima vaksin masih boleh dijangkiti dan menyebarkan virus membawa maut itu.

Namun, jelasnya, kemungkinan untuk mendapat gejala teruk dan memerlukan rawatan intensif adalah rendah jika dijangkiti wabak itu berbanding individu yang langsung tidak menerima vaksin.

Sementara itu, Ketua Pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata, penerima dos lengkap suntikan vaksin Covid-19 masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Semalam, beliau turut meminta orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kendiri bagi mengelak dijangkiti Covid-19 memandangkan gelombang wabak itu kali ini adalah lebih bahaya berbanding gelombang sebelumnya.

Syamsul Firdaus (tiga dari kiri) selepas solat Aidilfitri di Taman Petaling Utama dengan kapasiti tidak melebihi 50 jemaah.