ADUN PKR tertanya-tanya kenapa diusir dari Sarawak

ADUN PKR tertanya-tanya kenapa diusir dari Sarawak

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sepetang, Chua Yee Ling yang diusir dari Sarawak selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) jam 12 tengah malam tadi.

Beliau diusir ketika sedang menghadiri majlis makan malam anjuran PKR malam tadi.

“Salam reformasi kepada kawan-kawan semua, saya telah selamat tiba di KLIA2 pada jam 12 tengah malam tadi.

“Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan. Syabas dan tahniah kepada team PKR Sarawak khususnya Cabang Miri yang berjaya menganjurkan Pink Diamond Dinner dengan meriah walaupun terima gangguan yang luar biasa,” tulisnya di Facebook.

Wakil rakyat dari Perak itu diusir apabila pegawai imigresen dan polis datang ke majlis itu yang diadakan di Eastwood Valley Golf & Country Club di Miri.

Rakaman yang disiarkan di halaman Facebook Chua menunjukkan beliau diiringi keluar dari tempat berkenaan oleh pegawai-pegawai imigresen.

Chua yang kelihatan tenang ketika pengusiran itu berkata beliau akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa berkenaan.

“Kamu hanya melakukan tugas kamu, tapi saya tertanya-tanya mengapa,” katanya kepada pegawai imigresen.

Beliau kemudian dibawa dengan kenderaan SUV berwarna hitam.

Terdahulu semalam, dua anggota parlimen PKR, Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Hee Loy Sean (Petaling Jaya Selatan) dihalang memasuki Sarawak sejurus tiba di Lapangan Terbang Miri.

Mereka juga dijadualkan hadir pada majlis makan malam berkenaan.

Pengusiran itu dibuat sehari sebelum Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Sarawak.

Sementara itu pemimpin PKR Sarawak Baru Bian terkejut terutama dengan cara  Yee Ling diarahkan pulang ketika menghadiri majlis kutipan dana di Miri dan dihantar menaiki pesawat terakhir kembali ke semenanjung.

“Jabatan imigresen, di bawah arahan kerajaan negeri, mengambil tindakan yang sangat ekstrem.

“Ketika majlis rasmi sedang berlangsung, dan anda ambil tindakan seperti itu, ia menunjukkan kesombongan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

 

CATEGORIES
TAGS