Adun Pujut hilang kelayakan sebagai wakil rakyat

Adun Pujut hilang  kelayakan sebagai  wakil rakyat
Dr Ting Tiong Choon

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)Pujut, Dr Ting Tiong Choon hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Mahkamah Persekutuan menetapkan keputusannya hari ini.

Memetik akhbar Borneo Post, dalam penghakiman majoriti tujuh berbanding dua, mahkamah itu mengketepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengembalikan semula Dr Ting sebagai Adun Pujut.

Kelayakan Dr Ting sebagai Adun Pujut dibatalkan pada 12 Mei 2017 selepas usul dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak kerana beliau didakwa mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Australia.

Dalam penghakiman hari ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan Dun mempunyai kuasa untuk membatalkan kelayakan Ting kerana beliau mempunyai dua kerakyatan meskipun melepaskan satu daripadanya sebelum bertanding dalam pilihan raya negeri yang lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 Sarawak 2016, Dr Ting yang mewakili Dap berjaya memenangi pertandingan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pujut dengan majoriti 1,759 undi, menewaskan Hii King Chiong (BN), Jofri Jaraiee (PAS) dan Fong Pau Teck (Bebas).