Malaysia Dateline

Adun Pulai Sebatang optimis tragedi Sungai Kim Kim dapat dielakkan

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulai Sebatang, Johor, Taqiuddin Cheman berpendapat tragedi Sungai Kim Kim berpotensi dielakkan jika langkah penyiasatan dan pemulihan diambil lebih awal.

Taqiuddin yang juga merupakan Ketua Pemuda AMANAH Johor berkata, pihak berwajib juga sudah mempunyai pengalaman mengendalikan kes pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, sebelum ini.

“Justeru, langkah yang diambil lebih pantas dan tersusun dalam usaha menangani isu yang sedang hangat di Pasir Gudang itu.

“Saya lihat, sinergi daripada semua agensi Kerajaan Persekutuan dan pihak kerajaan negeri Johor, akan menyelesaikan perkara ini dalam masa terdekat.

“Saya juga ingin menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat yang sahih berhubung isu ini.

“Sebarang pertanyaan dan pengesahan maklumat, boleh menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang di talian 07-2513444 atau Pusat Gerakan Operasi Negeri JBPM Negeri Johor di talian 07-3409999,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Malaysia Dateline, hari ini bagi mengulas isu berkenaan yang telah menggemparkan khususnya warga Pasir Gudang, dua hari lalu.

Memetik laporan media tempatan, 15 murid yang mengalami gejala sesak nafas dan muntah itu dipercayai akibat pencemaran udara.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Ibrahim Omar, berkata pemeriksaan awal mendapati, berlaku pencemaran udara dengan 15 murid mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas.

Susulan kejadian itu, Ibrahim memaklumkan, antara langkah awal yang sedang dilakukan adalah, menyediakan tempat untuk nyahcemar.