Adun Pulau Pinang diingat agar rasional berdebat

Adun Pulau Pinang diingat agar rasional berdebat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas mengingatkan supaya semua ahli dewan undangan negeri (ADUN) berdebat secara matang.

“Jadilah rasional dan bukan beremosi dalam mendebatkan isu, yang mana telah disemak secara terperinci,” tegas Abdul Rahman ketika berucap dalam persidangan dewan undangan negeri Pulau Pinang, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan sistem semak dan imbang adalah suatu kemestian walaupun mustahil untuk mencapai persetujuan 100 peratus dalam politik.

“Jalankan sistem itu atas kepercayaan dan meletakkan isu peribadi dan ketidak setujuan politik ke tepi,” ujar Abdul Rahman lagi sebelum merasmikan mesyuarat pertama sesi keempat persidangan dewan undangan negeri Pulau Pinang ke-13.

Beliau juga menyentuh mengenai perkembangan ekonomi semasa di negeri itu bagi tahun 2015.

Ekonomi negeri bagi tahun 2015 menunjukkan prestasi yang membanggakan di mana Pulau Pinang telah mencatatkan jumlah pelaburan berjumlah RM6.7 billion melalui 107 buah projek yang telah diluluskan.

Daripada jumlah tersebut, ujarnya sejumlah RM4.5 billion adalah pelaburan asing dan RM2.2 billion pula adalah pelaburan tempatan.

Dalam masa yang sama, sebanyak 18,725 peluang pekerjaan telah diwujudkan pada tahun 2015 berbanding 17,896 pada tahun 2014 iaitu peningkatan sebanyak 5 peratus.

“Saya berharap YAB Ketua Menteri dan seluruh Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri terus bekerja keras dan meningkatkan kepekaan serta kelancaran pengurusan demi kemajuan negeri dan seterusnya kesejahteraan rakyat keseluruhannya.” ujarnya.

Dalam hal ehwal agama Islam pula, beliau menyentuh mengenai institusi masjid sebagai pusat ibadah dan pembangunan ummah terus dipertingkatkan sejajar dengan arus perkembangan masa kini.

Tun Abdul Rahman Abas Dalam hal ini, katanya, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah sumber kewangan untuk mempertingkatkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan prasarana masjid.

“Dalam tempoh lima tahun yang lalu, Kerajaan Negeri telah membina sebanyak 10 buah masjid baru atau menggantikan masjid yang telah uzur.

“Pada tahun ini, saya dimaklumkan Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan merancang membina beberapa lagi masjid baru, iaitu Masjid Bandar Baru Seri Pinang, Masjid Kubang Ulu, Masjid Karwa, Masjid Kampung Rawa dan Masjid Penaga yang akan dimulakan pembinaannya pada tahun ini atau awal tahun 2017.

“Pada tahun 2016 ini juga Masjid Batu Maung RM2.9 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri akan siap pada bulan ini.

“Di samping itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebidang tanah di Jalan Scotland RM50 juta untuk membina Ibu Pejabat Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang.” ujarnya.

TAGS