Malaysia Dateline

Adun raikan masyarakat Tionghua sambut Tahun Baru Cina

Menjelang sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak beberapa hari lagi, Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil mengambil pendekatan segera dengan turun padang menjenguk mereka yang memerlukan dalam kawasan Dun Permatang Pasir yang diwakili beliau.

Malah gerak kerja Peduli Rakyat bagi Dun tersebut dilaksanakan dengan menziarahi masyarakat Tionghua yang memerlukan di beberapa buah kampung termasuk Permatang Pauh, Kampung Cross Street, Kampung Bukit Merah serta Pekan Penanti dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh.

“Antara golongan yang disasarkan adalah mereka yang memerlukan melibatkan 300 rumah yang telah pun menerima sumbangan berupakan barangan keperluan dapur serta Ang Pow bagi meringankan beban mereka.

“Walaupun sumbangan yang diberikan tersebut dilihat sebagai kecil, tetapi ia amat bermakna bagi golongan miskin dan memerlukan lebih-lebih lagi dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila golongan tersebut amat terkesan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu tatkala ini.

“Ternyata dengan ketara walaupun kerajaan PN mengumumkan pelbagai pakej bantuan tetapi ia tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat kerana tiada bantuan secara langsung yang boleh dinikmati oleh rakyat,” tegasnya.

Sejajar dengan itu ujar Faiz, sebagai wakil rakyat kebajikan masyarakat perlu menjadi prioriti serta mereka perlu senantiasa disantuni bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan negara.

Tambahnya, menjaga kebajikan masyarakat pelbagai kaum merupakan elemen utama keadilan sosial dalam usaha untuk merealisasikan agenda Rahmatan Lil A’lamin.