Malaysia Dateline

ADUN Sebatik keluar Warisan, anggap PH utamakan kepentingan politik

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar dari Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini kerana menganggap parti itu tidak mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Ini bermakna dia kini seorang ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

Hassan mendakwa Warisan masih bermain dengan rentak politik Pakatan Harapan (PH) yang mengutamakan kepentingan politik ketika negara berdepan pandemik.

“Saya melihat perkara yang diperlukan oleh negara pada hari ini adalah kestabilan politik. Kestabilan ini penting untuk memastikan kerajaan dapat memberikan sepenuh perhatian dalam menangani Covid-19 dan menjaga kesejahteraan rakyat.

“Saya amat dukacita melihat pendirian Warisan yang dilihat masih bermain dengan rentak politik Pakatan Harapan (PH) yang mengutamakan kepentingan politik berbanding kesejahteraan rakyat yang terbeban dengan isu Covid-19,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama.

Dia juga berkata, antara punca yang amat mengecewakan dirinya ialah tindakan Warisan menolak Belanjawan 2021 di Parlimen yang dianggapnya membelakangki kepentingan rakyat terutama dalam usaha menangani pandemik.

Ekoran keputusan Hassan itu, GRS yang dianggotai parti komponen Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah kini memiliki sokongan 48 ADUN daripada keseluruhan 79 ADUN negeri tersebut.