Malaysia Dateline

Adun Sementa, Daroyah Alwi keluar PKR

Adun Sementa yang juga adalah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, Daroyah Alwi mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau yang merupakan Timbalan Ketua Wanita PKR itu, menurut laporan Malaysiakini berkata, keputusan itu dibuat kerana hilang kepercayaan terhada kepimpinan parti yang dipimpin Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Beliau merupakan wakil rakyat terbaru yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin Ali meninggalkan parti itu.

“Saya bernombor ahli B1800073914 dengan ini ingin mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai timbalan ketua Wanita PKR pusat, serta keluar dari parti berkuat kuasa hari ini.

“Keputusan ini dibuat kerana saya sudah hilang rasa yakin dan percaya kepada presiden juga parti yang alpa tentang idealisme perjuangan serta hala tuju parti,” katanya dalam sidang media hari di Shah Alam, hari ini.

Daroyah berkata, buat masa ini beliau tidak berhasrat untuk menyertai mana-mana parti dan akan bergerak sebagai Adun Bebas.