Adun Semenyih Mohd Bakhtiar meninggal dunia

Adun Semenyih Mohd Bakhtiar meninggal dunia

Ahli Dewan Undangan Negeri  (Adun) Semenyih Mohd Bakhtiar Mohd Nor telah meninggal dunia awal pagi ini, akibat serangan jantung.

Allahyarham Mohd Bakhtiar menghembuskan nafas terakhirnya jam 4.45 pagi ini di Hospital Kajang.

Kematian Allahyarham dimaklumkan oleh Setiausaha Politik kepada Datuk Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah hari ini.

Jenazah Allahyarahm akan dibawa pulang ke rumah keluarnya di Bt 19, Jalan Sungai Lalang, Kolam Memancing Teratak Tekala 43500 Semenyih.

Jenazah akan disembahyangkan sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih. Jenazah kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.

“Ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tuan Mohd Bakhtiar bin Mohd Nor.

“Saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan di kalangan golongan yang soleh. Al Fatihah,” ujarnya dalam kenyataan itu.

Allahyarham Mohd Bakhtiar adalah calon PKR pada Pilihan  Raya Umum ke -14 (PRU14) lalu. Allahyarham menang bertanding dikerusi Dun Semenyih dengan majoriti 8,964  undi  mengalahkan tiga calon lain dari BN, Pas dan PSM.