Adun Senggarang cadang nelayan mencarum Perkeso

Adun Senggarang cadang nelayan mencarum Perkeso

Khairuddin A Rahim

Perkara tersebut telah menjadi pelbagai tanggapan yang negatif terhadap nelayan di sekitar Johor serta mereka mendakwa cadangan tersebut akan menyekat peluang bagi nelayan yang uzur untuk mendapatkan sara hidup nelayan.

Cadangan itu telah menjadi kupasan hangat sewaktu sesi dialog di antara nelayan dan exco baru-baru ini di Pendas Laut Gelang Patah, Johor.

Namun cadangan tersebut telah dipertahankan oleh Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim yang merupakan individu yang melontarkan cadangan itu awalnya.

“Ada satu kaedah penyelesaian dengan mencarumkan nelayan yang mempunyai masalah kesihatan untuk ke laut.

“Seperti Perkeso, ia akan menjamin sekiranya berlaku sebarang permasalahan seperti kemalangan dan sebagainya ia akan dijamin untuk dilindungi melalui caruman tersebut.

“Kita kena kenal pasti pada mereka yang ke laut. Mereka itulah yang akan mendapat bantuan sara hidup nelayan bukan mereka yang tidak pergi ke laut,” ujarnya ketika ditemui.

Katanya yang menambah, untuk nelayan yang sudah berusia lewat serta tidak mampu ke laut bukanlah sepatutnya bergantung kepada sara hidup nelayan lagi.

“Sepatutnya nelayan yang berusia kita akan semak untuk mereka menerima sebarang bantuan yang lain seperti bantuan Kebajikan Masyarakat dan selainnya. Perkara itu perlu diselesaikan oleh Persatuan Nelayan.

“Persatuan nelayan perlu sedar tentang kebajikan nelayan dan memaklumkan kepada pihak kerajaan agar diambil tindakan ke atas nelayan yang tidak mampu pergi ke laut lagi.

“Saya akan bersama-sama dengan pelbagai agensi untuk membincangkan perkara ini bagi menyelesaikan soal pemutihan lesen nelayan ini. Secara logiknya lesen adalah untuk mereka yang ke laut.

“Itu tidak bermakna kita meninggalkan nelayan yang sudah tidak mampu ke laut. Kita akan cadangkan skim caruman dan kebajikan yang lain untuk nelayan tersebut,” sambung beliau lagi.