ADUN Senggarang mahu suara pengguna didengari

ADUN Senggarang mahu suara pengguna didengari

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) akan diwujudkan di Dun Senggarang, Batu Pahat, Johor bagi memberi ruang kepada pengguna untuk menyuarakan pendapat mereka.

Menurut ADUN Senggarang, Khairuddin A Rahim cadangan penubuhan NGO dengan nama Persatuan Bersatu Hak Pengguna Senggarang ini adalah dari permintaan rakyat atau pengguna di Dun tersebut.

Menurutnya lagi perkara ini mampu menjadi penghubung antara permasalahan pengguna kepada kerajaan untuk ditangani.

“Antara matlamat asas penubuhan NGO ini adalah berkenaan keperluan asas, keselamatan, maklumat terhadap sebarang perubahan yang melibatkan pengguna, soal alam sekitar, pendidikan dan pelbagai lagi.

“Terdapat pelbagai masalah di DUN ini yang mengaitkan masyarakat atau pengguna. Justeru, penubuhan NGO ini amatlah baik untuk membela mereka.

“Selain itu, permintaan dari rakyat khususnya di DUN Senggarang ini perlu disantuni kerana mereka adalah insan yang mengharapkan sesuatu dari pentadbiran PH di Johor,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Menurut Khairuddin lagi, NGO itu kini telah beroperasi dan isu yang pertama telah dibawa oleh NGO berkenaan adalah membabitkan aduan perlindungan bagi aktiviti pinjaman wang yang berlaku di DUN Senggarang.

Dalam pada masa sama, rata-rata responden memberi maklum balas yang baik terhadap penubuhan NGO tersebut kerana bagi mereka sekurang-kurangnya dapat membantu pengguna untuk mempertahankan hak mereka.