Malaysia Dateline

ADUN Sindumin keluar Warisan, ikrar sokong kerajaan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

Beliau mengumumkan perkara itu dalam sidang medianya dan memilih untuk menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan.

Pengumuman itu sekali gus menjawab spekulasi mengenai dakwaan Ketua Penerangan Warisan itu keluar parti pada akhir minggu lalu.

Yusof juga memaklumkan, tindakannya meninggalkan parti adalah keputusan peribadi tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

“Keputusan ini saya buat sendiri, bukan tekanan sesiapa. Keputusan saya atas pertimbangan untuk membolehkan saya memberi tumpuan kepada kerjasama dengan kerajaan dan berkhidmat kepada rakyat di Sindumin

“Saya juga memberi sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dan kerajaan Sabah demi kepentingan rakyat, untuk kestabilan politik negeri dan negara walaupun sumbangan saya ini kecil,” katanya.

Keputusan yang diambilnya itu juga sudah dimaklumkan kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.