Malaysia Dateline

Adun Sri Muda kemuka permohonan ketepi keputusan Mahkamah Persekutuan

Ahli Dewan Negeri (Adun) Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafiei (gambar kiri)  hari ini mengemukakan permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 8 Januari 2018 yang mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa ‘niat’ adalah wajib untuk dibuktikan dalam kes hasutan.

Permohonan itu dibuat menerusi peguam, N Surendran (gambar kanan) mengikut Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.

Surendran berkata, beliau hairan mengapa Barisan Nasional (BN) masih menggunakan Akta Hasutan sedangkan ia menjejaskan hak bersuara rakyat Malaysia.

“Suhaimi mahu meneruskan perkara ini sehingga akta ini dihapuskan. Akta ini memberikan kesan kepada kebebasan bersuara di negara kita. Ini akta yang digunakan British.

“Kita akan terus berjuang supaya akta ini dimansuhkan,” katanya seperti dilapor Selangorkini hari ini.

Mahkamah Persekutuan pada 8 Januari lalu mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada November 2016 berhubung keperluan pihak pendakwaan membuktikan niat individu yang didakwa sebagai menghasut.

Mahkamah juga menyifatkan rayuan Shuhaimi supaya Seksyen 3 (3) Akta Hasutan diisytiharkan tidak berpelembagaan sebagai penyalahgunaan proses mahkamah.

Bagaimanapun, Ketua Hakim Malaya Tan Sri Ahmad Maarop yang menulis keputusan sebulat suara berkenaan tidak membuat keputusan berhubung bahagian perlembagaan berkenaan.

“Mahkamah Rayuan salah dalam membenarkan rayuan responden (Mat Shuhaimi) yang mana ia mewajarkan campur tangan kami.

“Keputusan Mahkamah Tinggi dikembalikan dan keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan. Kami menolak untuk menjawab soalan dua dan tiga daripada cabaran yang dikemukakan,” katanya.

Mahkamah menyifatkan permohonan sivil berkenaan sebagai penyalahgunaan proses mahkamah kerana Shuhaimi sebelum ini tidak berjaya untuk mengetepikan seksyen 4 akta sama.

Hakim lain dalam panel itu ialah Datuk Ramly Ali, Datuk Balia Yusof Wahi, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Mahkamah kemudian tidak membuat sebarang perintah mengenai kos walaupun peguam kanan persekutuan yang diketuai Awang Armadajaya Awang Mahmud meminta RM15,000.

Shuhaimi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Februari 2011 atas tuduhan menghasut dengan memuat naik satu artikel berhubung pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Khidmat Rakyat, Jalan Anggerik Vanilla, Shah Alam, pada 30 Disember 2010.