Malaysia Dateline

Adun Tandek keluar PBS sertai Warisan

Setelah 34 tahun bersama Parti Bersatu Sabah (PBS), Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek Datuk Anita Baranting hari ini mengumumkan keluar parti itu dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Beliau turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Wanita PBS yang disandangnya selama dua penggal.

Anita menyerahkan borang keanggotaannya kepada Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu majlis ringkas yang turut dihadiri dua Naib Presiden Warisan iaitu Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Peter Anthony, di sini.

Bersama Anita menyerahkan borang keanggotaan kepada Warisan ialah Skuad Tandek yang merupakan jentera Pilihan Raya Umum Ke-14 bagi kawasan Tandek terdiri daripada 50 pemimpin masyarakat termasuk PBS, UMNO, MCA dan Gerakan.

Bercakap dalam sidang media, Anita berkata keputusannya untuk menyertai Warisan diambil selepas hampir enam bulan melihat hala tuju serta penerimaan rakyat Sabah terhadap parti itu dalam menerajui kepimpinan negeri.

Anita yang merupakan pemimpin tertinggi PBS pertama keluar parti berkata keputusannya menyertai Warisan adalah atas kerelaan sendiri tanpa dipengaruhi oleh sesiapa.

“Kami mengambil keputusan menyertai Warisan kerana mahu meneruskan khidmat membantu kerajaan dalam semua aspek pembangunan di Sabah supaya rakyat khususnya di kawasan saya dapat menikmati pembangunan berterusan.

“Atas dasar peduli rakyat, kami bersedia mengerahkan tenaga dan kemampuan menyatupadukan rakyat supaya kewujudan parti tempatan ini terus relevan di hati rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Anita berkata, beliau tidak perlu menghantar surat peletakan jawatan kepada kepimpinan tertinggi PBS kerana dalam perlembagaan parti itu jika mana-mana pemimpin menyertai parti lain secara automatik keanggotaanya terbatal.

Sementara itu, Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, pemimpin Warisan termasuk UPKO, DAP dan PKR di Tandek perlu memberi sokongan penuh kepada Anita dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan itu.

Kesemua pemimpin parti itu diingatkan untuk tidak terlalu berpolitik sebaliknya perlu terus bersatu-padu dalam memacu hala tuju pembangunan negeri di bawah pentadbiran Warisan ke tahap lebih tinggi demi kepentingan rakyat, katanya.

Dengan penyertaan Anita ke dalam Warisan menjadikan seramai sembilan ADUN BN menyertai parti itu setakat ini.