Adun Tanjong Bunga usaha sedaya upaya selamatkan perkampungan nelayan Tanjong Tokong

Oleh MOHD ALI HASHIM

Adun Tanjong Bunga usaha sedaya upaya selamatkan perkampungan nelayan Tanjong Tokong. Kerajaan negeri Pulau Pinang menzahirkan rasa kesal apabila adanya pihak yang cuba memberi gambaran kurang tepat mengenai situasi sebenar perkampungan nelayan Tanjong Tokong.

Perkampungan ini menjadi perdebatan hangat ketika ini apabila penduduk memohon penjelasan daripada kerajaan negeri tentang pelan pembangunan untuk komuniti nelayan di kawasan tersebut selepas bimbang akan diusir.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan P. Pinang, Zairil Khir Johari berkata, sejak tahun 2005 belayan-nelayan disekitar kawasan tersebut mula membina struktur-struktur atas rizab pantai milikan kerajaan negeri.

Sejak dari itu katanya, perkampungan tersebut telah berkembang sehingga wujud lebih kurang 78 struktur di mana kebanyakkannya merupakan struktur bukan kediaman termasuk komersil yang menjalankan perniagaan chalet dan homestay.

Adun Tanjong Bunga usaha sedaya upaya selamatkan perkampungan nelayan Tanjong Tokong
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan P. Pinang, Zairil Khir Johari

“Semasa menjadi Ahli Parlimen Bukit Bendera, saya masih ingat semasa melawat perkampungan tersebut dalam satu pertemuan, penduduk telah akur bahawa tanah yang diduduki mereka merupakan rizab pantai milikan kerajaan negeri dan mereka berjanji untuk melepaskan tanah tersebut sekiranya diminta oleh kerajaan negeri bagi apa jua tujuan pembangunan,” kata beliau.

Pada tahun 2017, kerajaan negeri telah pun menandatangani perjanjian bersama pihak swasta untuk membangunkan sebuah sekolah antarabangsa yang kini merupakan Stonyhurst International School.

Antara syarat yang perlu ditunaikan oleh kerajaan negeri adalah untuk mengosongkan kawasan rizab pantai bagi membenarkan aktiviti sukan air yang ingin dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi para pelajar mereka.

Manakala dalam pertemuan pada tahun 2018 mereka juga telah bersetuju mengosongkan sebahagian daripada rizab pantai agar aktiviti sukan air dapat dilaksanakan.

“Setelah bancian dilakukan oleh Pejabat Daerah dan Tanah, didapati sebahagian yang bakal dikosongkan ini hanya melibatkan 12 struktur di mana hanya dua rumah yang terlibat dan mereka ditawarkan rumah mampu milik jenis kos sederhana serta pemilik yang lain pula akan diberikan saguhati ex-gratia,” ujar beliau.

Tambah beliau, kerajaan negeri senantiasa berusaha bagi memastikan kemaslahatan rakyat terjaga dan selaku wakil rakyat mewakili kerajaan Pakatan Harapan akan tetap berusaha sedaya upaya bagi menyelamatkan sebahagian besar perkampungan tersebut.

Beliau menegaskan kawasan tanah yang diduduki kira-kira 90 penduduk di Kampung Warisan Nelayan Tanjong Tokong di sini merupakan rizab pantai, bukannya kawasan komersial seperti yang sedia ada pada masa ini.

Terdahulu, 90 penduduk Kampung Warisan Nelayan Tanjong Tokong di sini yang memohon penjelasan daripada kerajaan negeri tentang pelan pembangunan untuk komuniti nelayan di kawasan tersebut.

Baca juga: ‘Kluster mahkamah’ diangkat jadi PM Pakistan selepas Imran Khan diguling