Adun Telok Bahang wujudkan Pusat Khidmat Bergerak di masjid, pasar awam

Kenderaan yang digunakan untuk Pusat Khidmat Bergerak Adun Teluk Bahang, Balik Pulau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Bahang, Zolkifly Md Lazim, merupakan satu-satunya Adun Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang yang membawa kelainan dikalangan Adun di Pulau Pinang.

Beliau telah mewujudkan Pusat Khidmat Bergerak (PKB) setiap minggu di masjid-masjid yang ada dalam kawasan Dun Telok Bahang serta juga di pasar awam pada hari Ahad.

Ketika ditemui beliau berkata, idea untuk mewujudkan PKB di masjid-masjid adalah bagi memudahkan penduduk kampung dan orang ramai khususnya pada hariJumaat bagi mendapatkan pelbagai khidmat yang disediakan.

Malah katanya lagi, secara tidak langsung aktiviti turun padang berterusan bukan hanya semasa pilihan raya umum (PRU) sahaja, sebaliknya khidmat kepada masyarakat diteruskan walaupun telah memenangi PRU.

“Di pusat khidmat ini kita menyediakan beberapa orang staf serta pelbagai khidmat termasuklah menerima aduan dan keluhan penduduk sekitar kawasan tersebut.

“PKB ini akan beroperasi mulai 10 pagi sehinggalah 3 petang dan berubah-ubah dari setiap masjid ke setiap masjid yang ada dalam kawasan Dun Telok Bahang.

“Manakala pada hari minggu pula ia akan bergerak sehingga ke pasar awam bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan sokongan dan bantuan yang disediakan,” jelasnya.

Orang ramai yang mendapatkan khidmat beliau semasa berada di Pusat Khidmat Bergerak di Masjid Teluk Bahang.

Tegasnya lagi, kewujudan PKB ini telah berjaya menyelesaikan banyak masalah melibatkan ibu tunggal, warga emas, golongan miskin dan juga yang memerlukan.

“Ini termasuklah membantu menyediakan pelbagai borang bantuan i-Sejahatera yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi semua golongan masyarakat.

“Melalui PKB ini penduduk setempat dapat menjimat masa dan kos pengangkutan kerana terdapat sesetengah penduduk miskin tidak langsung mempunyai kenderaan dan terpaksa menaiki bas atau teksi.

“Dengan cara ini ia telah dapat menjimatkan kos yang terpaksa mereka tanggung bagi mendapatkan pelbagai jenis perkhidmatan yang disediakan, ” ujarnya lagi.

Zolkifly semasa melayan penduduk yang mendapat khidmat beliau di Pusat Khidmat Bergerak di Masjid Teluk Bahang baru-baru ini.

Menurut Zolkifly lagi, sehingga hari ini PKB beliau telah berjaya menyelesaikan banyak masalah penduduk setelah ia dilaksanakan sejak dua bulan yang lalu.

“Idea ini timbul setelah mendapati ramai penduduk sebelum ini yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan bagi mendapat khidmat Adun kerana terpaksa menggunakan pengangkutan awam dan bantuan kenderaan lain.

“Ekoran kesedaran tersebut maka mewujudkan PKB ini terbukti telah mampu membantu banyak penduduk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi

“Masalah parit dan longkang tersumbat, lampu jalan, tiang lampu, jalan yang rosak dan berlubang, rumah bocor, kediaman yang daif dan lain-lain lagi masalah menjadi rutin yang kerap diterima oleh PKB, ” ujarnya.

Tambahnya lagi secara tidak langsung, ia juga mengeratkan tali silaturrahim bersama dengan penduduk setempat serta membantu mengatasi pelbagai masalah dalam tempoh yang singkat.

Setakat ini katanya belum ada lagi mana-mana Adun yang menggunakan kaedah PKB setiap minggu sepertimana yang dilaksanakan olehnya.

9.7
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS