Adun Tepoh nafi jadi calon MB Terengganu pilihan Amanah

Adun Tepoh nafi jadi calon MB Terengganu pilihan Amanah

Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menafikan dirinya bakal menjadi calon Menteri Besar Terengganu pilihan Parti Amanah Negara (Amanah) seperti didakwa dalam artikel di dalam akhbar The Star baru-baru ini.

Wakil rakyat Pas itu juga menganggap ia satu tindakan bermotif jahat.

“Ini adalah kali kedua saya dikaitkan dengan parti Amanah. Justeru, dengan perkembangan ini saya mengira wajar untuk mengambil ruangan terhad ini untuk membuat penafian secara jujur dan beramanah agar ia tidak disalahertikan oleh masyarakat dan rakyat di dalam kawasan saya,” katanya dalam satu kenyataan semalam seperti di petik dari Malaysiagazette hari ini.

Artikel The Star, wartawan Joceline Tan mendakwa salah satu sumber Amanah mendakwa parti itu gemar mencalonkan Hishamuddin atas alasan mesra Amanah dan serasi dengan pimpinan parti serpihan Pas tersebut.

“Alhamdulillah, saya merupakan ahli Pas yang akan terus beristiqamah dengan perjuangan yang dipilih Pas dan berdoa kepada Allah agar mengekalkan saya berada dalam perjuangan Pas. Justeru, mengaitkan diri saya dengan PAN adalah suatu sikap yang tidak beretika dan sebaran ini perlu dihentikan. Kalaupun ia masih berlaku, ia merupakan satu tindakan bermotif jahat.

“Cukuplah sebaran berita-berita seperti ini dihentikan kerana ia tidak memberi faedah untuk kepentingan ummah, rakyat dan negeri,” katanya lagi.

Sebaran berita itu ada kaitan dengan Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang bermula hari ini dikatakan penentu kemungkinan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang akan keluar Umno dan mungkin bekerjasama dengan Pas.

Sekiranya Pas memerintah sudah pasti ada calon-calon Menteri Besar di negeri itu kelak

TAGS