Malaysia Dateline

Adun Titi Serong tunjuk solidariti ke atas Muath Amaneh

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong hadir dengan  gimik untuk menunjukkan solidaritinya terhadap seorang jurugambar bebas Muath Amarneh di Palestin yang ditembak di mata oleh tentera Israel.

Hasnul Zulkarnain Abd Munaim hadir ke sidang Dun dengan menutup mata kirinya, ketika berucap dalam sesi penggulungan perbahasan Belanjawan Perak 2020 pada Khamis.

“Saya mengajak semua untuk kita bersoladiriti kepada wartawan jurugambar bebas Palestin yang ditembak di mata kiri oleh tentera Israel ketika membuat liputan demonstrasi di Tebing Barat tempoh hari.

“Muath Amarneh kini dirawat di Pusat Perubatan Hadassah di Baitulmuqaddis sejak ditembak di sebelah mata kiri menggunakan peluru hidup Jumaat lepas.

“Sebagai tanda solidariti terhadap apa yang berlaku kepada beliau, saya membuat ucapan penggulungan dengan menutup sebelah mata seperti mana yang dilakukan oleh warga antarabangsa yang bersimpati dengan kejadian yang menimpa beliau,” ujar beliau.

Pada 19 November lepas, seorang wartawan jurugambar bebas Palestin yang ditembak di mata oleh tentera Israel ketika membuat liputan demonstrasi di Tebing Barat menarik perhatian antarabangsa apabila wartawan dari seluruh dunia menyatakan solidariti dengan memakai penutup mata atau menutup sebelah mata mereka.

Muath Amarneh, 35, sedang dirawat di Pusat Perubatan Hadassah di Baitulmuqaddis sejak ditembak di sebelah mata kiri menggunakan peluru hidup Jumaat lepas oleh tentera Israel yang cuba meleraikan penunjuk perasaan Palestin di Kampung Surif di Wilayah Selatan Tebing Barat.

Kempen atas talian menggunakan hastag ‘MuathEye’, ‘EyeofTruth’ dan ‘MuathAmarneh’ dilancarkan menjadi trend di media sosial disusuli dengan video serta gambar Amarneh dibawa ketika pendarahan di mata kirinya sejurus selepas ditembak.