Malaysia Dateline

Adun Titi Serong umum sedia bantu kelengkapan sekolah

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengumumkan sedia membantu keluarga yang mengalami masalah untuk membeli kelengkapan persekolahan anak mereka.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional merangkap Ketua AMANAH Kuala Kangsar itu berkata, keutamaan akan diberi kepada penduduk di kawasan diwakilinya.

“Saya selaku Adun Titi Serong akan memberi bantuan kepada mana-mana ibu bapa yang tidak berkemampuan menyediakan kelengkapan persekolahan.

“Keutamaan kepada penduduk di DUN Titi Serong dan jika ada lebihan, saya akan agihkan di kawasan yang lain,” dipetik dari Facebook beliau.

Sehubungan itu, Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Kerajaan Negeri Perak tersebut memaklumkan pemohon boleh hadir ke Pusat Khidmat DUN Titi Serong untuk pendaftaran atau meninggalkan komen di Facebook beliau sebelum 22 Disember ini.

Rata-rata reaksi pengguna media sosial itu kemudiannya menyambut baik usaha Hasnul antaranya menyifatkan belum pernah ada lagi wakil rakyat yang secara terbuka mengumumkan komitmen yang sama.

“Satu-satunya YB yang berani menguar-uarkan bantuan melalui FB akaun miliknya supaya memudahkan orang ramai mengetahui dan mendaftar.

“Yang lain itu, senyap-senyap. Tahu-tahu sudah selesai majlis. Terbaik YB Hasnul,” kata Mior Raduan Mior Amran.

Dalam hal berkaitan, Hasnul telah menziarahi keluarga Nordin Samad kelmarin di Kampung Sungai Bakau yang tidak mampu menampung kos pembelajaran anak perempuan sulungnya di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh.

“Saya telah menasihati beliau (Nordin) agar teruskan juga pembelajaran anaknya di sekolah tersebut dan saya sedia membantu dari segi kewangan, namun beliau telah membuat keputusan demi masa depan anaknya.

“Saya juga telah meluluskan peruntukan membaiki rumahnya yang daif untuk keselesaan mereka sekeluarga,” ujar Pengarah Biro Kebajikan Pemuda AMANAH Nasional itu lagi.

Hasnul bertandang di kediaman keluarga Nordin Samad di Kampung Sungai Bakau kelmarin.

 

Sejumlah peruntukan diluluskan bagi memperbaiki rumah Nordin.