Pengundi Sik terbiar selepas mereka pilih wakil rakyat BN

Pengundi Sik terbiar selepas mereka pilih wakil rakyat BN

Sulaiman, Ketua AMANAH Sik.

Mandat yang diberikan oleh pengundi bagi kemenangan wakil rakyat Umno-BN di kawasan Dun Jeneri dan Dun Belantik dalam Parlimen Sik pada tahun 2013 tidak memberi apa-apa manfaat kepada mereka setelah kesukaran mereka tidak diberi perhatian.

Atas kesedaran, AMANAH kawasan Sik telah mengambil tindakan segera bagi membantu penduduk yang terlibat dalam pelbagai masalah dalam kawasan Parlimen tersebut.

Ketua AMANAH kawasan Sik, Sulaiman Ibrahim bersama-sama dengan tim ARiF telah mengambil tindakan segera bagi membantu penduduk yang rumah mereka dipukul ribut serta dihempap pokok.

“Sebaik saja mendengar masalah yang dihadapi oleh penduduk termasuk bencana seperti ribut, AMANAH kawasan Sik segera turun padang dan membantu mereka yang sedang mengharapkan pertolongan.

“Walaupun kita bukan kerajaan yang memerintah negeri Kedah, tapi atas sifat peduli, bantuan segera diusahakan bagi memastikan masalah mereka yang terlibat dapat diringankan.

“Selain dari itu, kita juga menziarahi mereka yang sakit dan uzur tanpa mengambil kira perbezaaan fahaman dan ideologi politik,” katanya.

Menurut Sulaiman yang dilantik sebagai Pengerusi PH Sik beberapa bulan lalu, jalan rosak dan becak sehingga menyukarkan penduduk dalam kawasan Dun Jeneri adalah masalah yang begitu lama belum dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Keadaan rumah yang ditimpa pokok ketika ribut pada 6 Oktober baru-baru ini telah dibersihkan oleh Pemuda AMANAH kawasan Sik.

Malah katanya, masalah ini telah berlarutan begitu lama, tetapi tidak mendapat perhatian segera wakil rakyat BN yang mewakili kawasan tersebut.

“Jalan yang becak dan rosak pun telah begitu lama dan menyusahkan penduduk dalam kawasan ini, sedangkan ia berada dalam kawasan yang dimenangi oleh BN.

“Sepatutnya jalan ini telah lama ditarkan atau diperbaiki, sebaliknya ia tidak dipedulikan dan menyusahkan penduduk.

“Sewajarnya tidak harus ada lagi jalan sedemikian kerana negara telah pun mencapai kemerdekaan selama 60 tahun, namun begitu ia berlaku sebaliknya, ” jelasnya lagi.

Jalan becah dan rosak yang tidak diberi perhatian oleh kerajaan negeri serta Adun kawasan Jeneri.

Beliau juga berkata, AMANAH kawasan Sik akan tetap meneruskan usaha bagi membantu pelbagai golongan masyarakat yang menghadapi masalah kehidupan.

“Ia termasuklah membantu keluarga yang melarat, warga emas, mereka yang uzur dan sakit serta anak-anak yang tidak meneruskan alam persekolahan mereka akibat kemiskinan.

“Manakala infrastruktur seperti kemudahan jalan tar, jambatan yang runtuh sejak sekian lama di beberapa buah kampung juga tidak pernah diberikan perhatian oleh wakil rakyat dalam Parlimen Sik.

“Sekaligus mereka telah memperlihatkan betapa sukarnya Umno dan BN untuk membantu meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat walaupun telah hampir lima tahun mereka memenangi pilihan raya umun yang lalu,” ujarnya lagi.

Parlimen Sik selalu saja bertukar tangan. Dalam PRU 2008, calon Pas menang manakala PRU 2013, calon BN pula menang.

PRU 1999 lalu, calon Pas menang manakala selepas itu PRU 2004, calon BN pula menang.

PH berharap akan menang dalam PRU14 yang dijangka hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Sulaiman, bekas peserta final rancangan realiti tv, Raja Lawak antara nama yang disebut bakal mewakili PH dalam PRU akan datang ini.

 

 

CATEGORIES
TAGS