ADUN Umno jadi Ketua Menteri Melaka baharu

ADUN Umno jadi Ketua Menteri Melaka baharu

Selepas seminggu BN Melaka mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu menerusi gabungan bersama Bersatu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Sulaiman Md Ali hari ini sah dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Melaka itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, 3.45 petang tadi.

Pelantikan Sulaiman itu berlangsung dalam Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Kompleks Seri Negeri.

Sulaiman, 55, yang juga Setiausaha Umno Bahagin Masjid Tanah adalah anak kelahiran Jalan Bangsal Rebah, Kampung Durian Daun, Masjid Tanah.

Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Exco Perindustrian dan Perdagangan Negeri ketika pentadbiran bekas Ketua Menteri Melaka ke-10, Datuk Seri Idris Haron pada tahun 2013 hingga 2018.

Selain mempunyai kelulusan Profesional Sarjana Pengurusan, Pesuruhjaya Jaminan Kualiti (QAC) dari United Kingdom, Sulaiman turut berkelulusan latihan di Akademi Laut Malaysia (ALAM).

Beliau juga berpengalaman dalam bidang industri minyak dan gas selama 25 tahun membabitkan syarikat PETRONAS Carigali, ExxonMobil dan Industri Pembangunan Minyak dan Gas.

Hasil perkahwinannya dengan Datin Munira M Yusop, beliau dikurniakan tiga cahaya mata.

Pelantikan Sulaiman dilihat memulakan era pentadbiran negeri Melaka di bawah Perikatan Nasional (PN) selepas penyertaan empat ADUN Pakatan Harapan (PH) dalam gabungan itu.

PH Melaka sebelum ini hilang sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran tindakan lompat parti oleh keempat-empat ADUN tersebut iaitu dua dari Bersatu manakala PKR dan Bersatu masing-masing seorang.

Dua ADUN Bersatu itu ialah Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) serta ADUN Rembia dari PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Pengkalan Batu dari DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee.