AES, denda tinggi untuk sedarkan pengguna, kata TPM

AES, denda tinggi untuk sedarkan pengguna, kata TPM

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kombinasi penguatkuasaan Sistem Pemberian Mata Demerit (Kejara), Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) serta kadar denda tinggi boleh memberi kesedaran kepada pengguna agar lebih berhati-hati di jalan raya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sudah tiba masanya Kejara yang sebelum ini dikuatkuasakan, namun dihentikan buat sementara, dilaksanakan semula dengan dilakukan beberapa modifikasi.

“Kejara ini sudah dilaksanakan dahulu, tetapi kerajaan mengambil keputusan menghentikan buat sementara disebabkan pemimpin memberi pelbagai pendapat yang akhirnya ada satu tempoh kajian yang panjang. Tetapi, sudah tiba masanya sistem ini dilaksanakan semula dengan beberapa modifikasi, pada hemat saya.

“Sebab…beberapa negara maju melakukan sistem ini, timbul kesedaran dalam kalangan pemegang lesen untuk berhati-hati memandu kerana dikhuatiri apabila mata-mata tertentu dikurangkan, dan akhirnya akan menyebabkan pembatalan lesen, mereka tidak dapat memandu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid menghadiri sesi Percambahan Pemikiran Mengenai Permasalahan Dadah, selama kira-kira satu jam.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali serta pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri dan wakil badan bukan kerajaan (NGO).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, hari ini dilaporkan sebagai berkata Kejara dan AES adalah cara lebih berkesan berbanding mengenakan denda tinggi untuk mendidik pengguna jalan raya di negara ini, agar lebih berhemah.

Liow berkata jumlah sama ada denda tinggi atau rendah adalah suatu yang subjektif buat setiap rakyat Malaysia bergantung kepada jumlah pendapatan dan taraf kewangan mereka.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata suatu pendekatan yang mempunyai kombinasi Kejara, AES dan denda tinggi perlu dimuktamadkan.

“Ini bukan sesuatu yang telah muktamad…tetapi kita sama-sama dengan masyarakat memberikan pandangan agar langkah-langkah positif (diambil) bagi mengurangkan kadar kemalangan, dan kemalangan maut dapat dikurangkan,” katanya

TAGS